Taliban tutup sekolah perempuan, AS batal rundingan


Keputusan Taliban menutup sekolah perempuan selepas hanya beberapa jam dibuka menyebabkan Amerika Syarikat membatalkan pelan rundingan di Doha. – Gambar AFP, 26 Mac, 2022.

AMERIKA Syarikat semalam berkata ia membatalkan pelan rundingan di Doha dengan Taliban selepas pemerintah Afghanistan itu menutup sekolah menengah untuk remaja perempuan.

“Kami membatalkan beberapa perhubungan termasuk mesyuarat yang dijadualkan di Doha ketika Forum Doha, dan membuat pendirian jelas yang kami melihat keputusan itu sebagai cabaran besar kepada hubungan,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara Jalina Porter.

Taliban yang merampas kuasa pada Ogos dan mahukan pengiktarafan antarabangsa menutup sekolah menengah perempuan minggu ini hanya selepas beberapa jam membukanya.

“Keputusan Taliban ini jika tidak dibatalkan segera akan memberi kesan buruk yang besar kepada rakyat Afghan, masa depan pertumbuhan ekonomi negara dan hasrat Taliban untuk meningkatkan hubungan mereka dengan masyarakat antarabangsa,” kata Porter kepada wartawan.

“Demi masa depan Afghanistan dan hubungan Taliban dengan masyarakat antarabangsa, kami mendesak Taliban untuk memenuhi komitmen dan untuk rakyat mereka,” katanya.

“Kami juga bersama dengan gadis Afghan dan keluarga mereka yang melihat pendidikan adalah jalan membuka sepenuhnya potensi masyarakat dan ekonomi Afghanistan,” tambahnya.

Keputusan Taliban untuk menutup sekolah perempuan dibuat selepas mesyuarat lewat Selasa dihadiri pegawai kanan di bandar Kandahar, pusat kuasa pemerintah dan pemimpin konservatif agama negara itu.

Ia dibuat selepas berbulan-bulan masyarakat antarabangsa berusaha menyelesaikan masalah gaji guru dan ketika remaja perempuan Afghan bersemangat mahu kembali ke sekolah buat kali pertama sejak tujuh bulan lalu.

Apabila Taliban kembali berkuasa, mereka menjanjikan pentadbiran lebih bertoleransi berbanding pemerintahan pertama mereka pada 1996 hingga 2001 yang dipenuhi dengan kes pelanggaran hak asasi.

Mereka mendakwa menyokong hak wanita selaras dengan tafsiran undang-undang syariah dan perempuan dibenarkan belajar sehingga ke universiti.

Tetapi Taliban kembali mengenakan sekatan ke atas wanita secara berperingkat, melarang mereka menjawat jawatan awam, mengawal pemakaian dan menghalang mereka daripada keluar seorang diri di luar kawasan tinggal mereka. – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen