RUSIA pada Jumaat mendakwa telah memusnahkan tapak simpanan bahan api tentera terbesar di Ukraine, menyerangnya dengan peluru berpandu jelajah Kalibr.
“Pada petang 24 Mac, peluru berpandu jelajah berasaskan laut ketepatan tinggi Kalibr menyerang pangkalan bahan api di kampung Kalynivka berhampiran Kyiv,” kata Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata ia adalah kemudahan simpanan bahan api tentera terbesar Ukraine yang tinggal, membekalkan tentera di bahagian tengah negara pro-Barat itu.
Pengumuman itu dibuat pada hari ke-29 apa yang disifatkan oleh Moscow sebagai “operasi ketenteraan khas” di Ukraine, dengan beribu-ribu terbunuh dan lebih 10 juta kehilangan tempat tinggal.
Sejak permulaan tindakan ketenteraan Moscow di Ukraine, tentera Rusia telah memusnahkan lebih 260 dron, lebih 1,580 kereta kebal dan kenderaan perisai lain dan 204 sistem senjata antipesawat, kata kementerian itu.
Walaupun tentera Ukraine telah menghentikan pencerobohan awal Rusia dan juga melancarkan beberapa serangan balas yang berjaya, terdapat tanda-tanda awal kedua-dua pihak sedang berada dalam perang yang panjang dan berdarah yang tidak dapat dimenangi dengan mudah. – AFP, 25 Mac, 2022.
Komen