Pelajar sertai protes iklim global di Australia


Ratusan pelajar di Australia menyertai protes "mogok iklim global" menuntut tindakan untuk menghentikan dunia yang semakin panas. – Gambar EPA, 20 Januari, 2022.

RATUSAN pelajar sekolah berhimpun di luar kediaman rasmi Perdana Menteri Australia Scott Morrison di Sydney hari ini memulakan “mogok iklim global” menuntut tindakan untuk menghentikan dunia yang semakin panas.

Mereka mengibarkan sepanduk di luar Rumah Kirribilli yang tertulis “Don’t be a fossil fool” dan “Scotty coal 4eva” sebagai tanda protes terhadap sokongan Morrison terhadap arang batu, penyumbang utama kepada pelepasan gas yang memerangkap haba bumi.

Perdana menteri berjanji untuk menyokong lombong arang batu selagi mereka berdaya maju dari segi kewangan dengan alasan arang batu adalah penting kepada ekonomi yang kaya dengan sumber negara dan perlu untuk menyediakan kuasa yang mampu dimiliki.

Penunjuk perasaan itu juga berarak di sekitar jalanan Sydney dalam demonstrasi terbaharu yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada gerakan global yang pada asalnya dilancarkan oleh remaja Sweden Greta Thunberg pada 2018.

“Kami marah dengan kerajaan Morrison. Kami melihat satu persatu bencana iklim seperti kebakaran belukar dan banjir,” kata penganjur protes Natasha Abhayawickrama, 17.

Australia berdepan salah satu musim kebakaran belukar yang paling teruk dalam rekod kebakaran Musim Panas Hitam 2019-2020.

Negara itu juga baru-baru ini pulih dari hujan sepanjang dua minggu dan bencana banjir yang mengorbankan lebih 20 mangsa apabila ia menenggelamkan bandar pantai timur dan menghanyutkan kereta di jalan raya.

“Kami tahu bahawa bahan api fosil yang memburukkan lagi banjir dan bencana iklim ini,” kata Abhayawickrama. – AFP, 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen