AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan sekatan baharu pada Khamis ke atas entiti dan rakyat di Rusia dan Korea Utara selepas ujian peluru berpandu ICBM baharu Pyongyang.
Individu dan organisasi yang disasarkan dituduh “memindahkan item sensitif ke program peluru berpandu Korea Utara,” kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menghalang keupayaan DPRK untuk memajukan program peluru berpandunya dan mereka menyerlahkan peranan negatif dimainkan Rusia di pentas dunia terhadap program membimbangkan itu,” kata kenyataan berkenaan dengan menggunakan akronim rasmi untuk Korea Utara.
Pelancaran pada Khamis adalah kali pertama Pyongyang melancarkan peluru berpandu paling berkuasa di negara itu pada jarak penuh sejak 2017, dan nampaknya bergerak lebih tinggi dan jauh daripada mana-mana peluru berpandu balistik antara benua sebelum ini yang diuji oleh negara bersenjata nuklear itu.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un secara peribadi menyelia ujian penembakan “jenis baharu” ICBM negara itu untuk meningkatkan penghalang nuklearnya terhadap “imperialis AS,” lapor media kerajaan pada Jumaat.
Jabatan Negara berkata Washington sebagai tindak balas menyekat entiti Rusia yang dikenali Ardis Group, PFK Profpodshipnik, dan seorang lelaki Rusia bernama Igor Aleksandrovich Michurin.
Ia turut menyekat warga Korea Utara Ri Sung Chol dan entiti negara itu yang dikenali sebagai Biro Hal Ehwal Luar Akademi Sains Semula Jadi Kedua.
Kenyataan itu tidak memberikan butiran dakwaan khusus terhadap individu dan entiti ini.
Minggu lalu, Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan terhadap dua individu dan tiga entiti Rusia kerana sokongan mereka terhadap program senjata Korea Utara. – AFP, 25 Mac, 2022.
Komen