Rusia, Ukraine bertukar tahanan


Rusia dan Ukraine saling bertukar tahanan yang membabitkan tentera kedua-dua belah negara. – Gambar EPA, 25 Mac, 2022.

KYIV dan Moscow pada Khamis mengesahkan saling bertukar tahanan, yang disifatkan Ukraine sebagai pertukaran askar pertama sejak Rusia mengarahkan tentera ke negara itu sebulan lalu.

“Berikutan arahan Presiden Volodymyr Zelensky, pertukaran tawanan perang sepenuhnya telah berlaku,” tulis Naib Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk di Facebook.

“Sebagai pertukaran 10 askar yang ditangkap, kami menyelamatkan 10 anggota tentera kami,” katanya, merujuk kepada tentera Rusia dan Ukraine.

Vereshchuk juga berkata 11 kelasi awam Rusia yang diselamatkan berhampiran bandar pelabuhan Laut Hitam Odessa ditukar dengan 19 kelasi awam Ukraine yang ditahan oleh Moscow.

“Saya mengesahkan maklumat mengenai pertukaran 10 askar Rusia yang ditahan di wilayah Ukraine untuk 10 askar Ukraine. Dan terdapat juga pertukaran kelasi awam Rusia untuk kelasi awam Ukraine,” kata ombudsman hak asasi manusia Rusia Tatiana Moskalkova.

Kementerian Luar Rusia berkata awal minggu ini yang Moscow selesai dua pertukaran tahanan sejak ia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine akhir bulan lalu.

Moskalkova berkata sembilan banduan Rusia ditukar dengan Datuk Bandar Melitopol, sebuah bandar di tenggara Ukraine yang ditawan tentera Rusia.

Vereshchuk pada Rabu mengesahkan pertukaran Melitopol tetapi menafikan yang lain.

Dalam ucapan video petang Khamis, Vereshchuk juga berkata pihak Rusia menahan 14 pegawai Ukraine, kebanyakannya penggubal undang-undang tempatan atau wakil dewan bandar raya, dan menuntut pembebasan mereka, dengan berkata menawan orang awam adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Memetik keterangan warga Ukraine yang dibebaskan dari kawasan diduduki Rusia, Vereshchuk juga menuduh askar Rusia melakukan penyeksaan dan berikrar untuk mendakwa jenayah sedemikian di The Hague.

“Semua anggota tentera Rusia yang mendengar kenyataan saya perlu tahu bahawa kami tidak akan membiarkan sesiapa pun tidak dihukum,” katanya. – AFP, 25 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen