KEMENTERIAN Luar Rusia pada Khamis menuduh Poland, anggota Nato yang juga jiran Ukraine, meningkatkan keadaan di timur Eropah selepas ia mengusir 45 diplomat Rusia atas dakwaan pengintipan.
“Warsaw telah memulakan peningkatan yang berbahaya di rantau ini, bukan untuk kepentingan negara, tetapi dalam rangka garis panduan Nato, yang berdasarkan kepada perangai fobia terhadap Rusia yang dijadikan sebaris dengan dasar rasmi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Kami nampak dan akan ambil kira dalam langkah praktikal kami ke arah Poland,” tambahnya.
Ia berkata pengusiran diplomat Rusia yang diumumkan sehari sebelumnya adalah “langkah sedar” oleh Poland “ke arah pemusnahan terakhir hubungan dua hala”.
“Semua tanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan kemungkinannya terletak sepenuhnya pada pihak berkuasa di Warsaw,” kata kementerian itu.
Ia memberi amaran Moscow “tidak akan abaikan serangan untuk bermusuhan ini tanpa tindak balas”.
Poland berkata pada Rabu ia telah mengusir 45 “perisik Rusia yang berpura-pura menjadi diplomat”, satu dakwaan serta-merta diketepikan sebagai tidak berasas oleh duta Rusia ke Warsaw.
Juga pada Rabu, perkhidmatan antipengintipan Poland ABW mengumumkan telah menahan seorang warga Poland yang disyaki mengintip untuk perkhidmatan rahsia Rusia. – AFP, 24 Mac, 2022.
Komen