KENAIKAN gaji minimum bermula 1 Mei ini bakal membebankan industri yang bergantung kepada buruh asing, kata pengusaha.
Kenaikan tersebut hanya akan memberi manfaat kepada pekerja asing kerana kebanyakan rakyat tempatan sudah memperoleh lebih daripada RM1,500, kata mereka.
Mereka berkata kerajaan perlu mencari jalan mengehadkan pengaliran keluar wang daripada pekerja asing kerana ia mengakibatkan kerugian besar kepada negara.
Presiden Persatuan PKS Ding Hong Sing berkata perusahaan kecil dan sederhana bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan, namun Putrajaya tidak dapat selesaikan isu kekurangan pekerja.
Tidak ada tenaga kerja yang cukup kerana pengumuman kerajaan untuk naikkan gaji minimum dibuat secara mengejut, kata Ding.
“PKS memerlukan pekerja asing untuk meningkatkan pengeluaran dan kecekapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sejak tahun lepas, terdapat banyak jangkaan tetapi industri tidak lagi boleh menunggu pekerja.”
Ding berkata jika gaji minimum baharu bermula pada 1 Mei, kesatuan sekerja mencadangkan pemotongan yuran penginapan RM250 hingga RM300 manakala pekerja asing perlu menanggung sendiri levi untuk mengurangkan beban industri.
“Pada masa ini, rakyat tempatan memperoleh lebih RM1,500 termasuk elaun. Data menunjukkan pekerja asing menyumbang 70% daripada tenaga kerja PKS manakala warga tempatan 30%.
Penduduk tempatan biasanya memperoleh sekitar RM2,000 hingga RM3,000, termasuk upah kerja lebih masa dan insentif.
Gaji minimum hanya akan memberi manfaat kepada pekerja asing yang akan menyaksikan kerajaan rugi berikutan aliran keluar ringgit, katanya.
“Hampir 85% daripada gaji mereka dihantar ke negara masing-masing. Dengan kata lain, kita rugi sekitar RM10 bilion setahun.
“Jika bilangan pekerja asing meningkat, aliran keluar ini akan menjadi lebih besar.”
Walaupun pengumuman itu telah dibuat oleh perdana menteri, dari segi pelaksanaan, industri masih dalam kegelapan, kata Ding.
“Kini PKS baru mula bangkit semula. Dan dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bermula, banyak PKS akan gagal kerana mereka tidak dapat penuhi kewajipan yang ditetapkan.”
Ding menggesa kerajaan memperkenalkan dasar secara teratur dan bukannya berbuat demikian atas faktor politik kerana ia akan memberi kesan kepada syarikat yang baru pulih daripada kesan ekonomi Covid-19.
Mengusir pengeluar
Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yeow Chong dalam pada itu meminta gaji minimum ditangguhkan sehingga tahun depan bagi mengelak rentetan reaksi ekonomi yang buruk.
Khoo berkata ramai yang tidak bersetuju dengan gaji minimum baharu itu kerana industri perabot terpaksa berdepan dengan peningkatan kos pengangkutan, kekurangan kontena dan juga kekurangan tenaga kerja, yang menyebabkan banyak tempahan tidak dipenuhi.
Kini ekonomi semakin pulih secara beransur-ansur, kerajaan sedang meningkatkan kos operasi mereka, katanya.
“Peningkatan 10% boleh diterima. Jika ini membantu menyelesaikan pengangguran, kami bersedia untuk bekerjasama.” – 25 Mac, 2022.
Berita penuh di sini
Komen