Dana OIC untuk Afghanistan mula terima sumbangan kewangan 


Rakyat Afghanistan terpaksa menjual barangan rumah mereka untuk mendapatkan barangan keperluan. Krisis kemanusiaan di negara itu kian meruncing berikutan pengunduran tentera asing yang diketuai AS dan kejatuhan rejim yang disokong Barat sebelum ini pada Ogos 2021.– Gambar EPA, 24 Mac, 2022.

SUMBANGAN wang mulai mengalir ke dalam dana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diwujudkan untuk menambahbaik situasi kemanusiaan yang mendesak di Afghanistan.

OIC dalam kenyataannya pada hari terakhir  Sesi ke-48 Majlis Menteri Luar di Islamabad pada Rabu mengalu-alukan pengaktifan Tabung Amanah Kemanusiaan Afghanistan dan memuji peranan Bank Pembangunan Islam dalam menguruskannya.

“Kami mengulangi gesaan kami kepada negara anggota OIC dan rakan antarabangsa lain untuk menyumbang kepada Tabung Amanah, yang akan membantu meringankan keperluan kemanusiaan rakyat Afghanistan yang mendesak dan memberi mereka peluang untuk kemajuan dan pembangunan,” kata kenyataan itu.

Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha pada sidang akhbar di Islamabad berkata Nigeria telah membuat sumbangan sebanyak AS$1 juta.

Beliau berkata lebih ramai anggota OIC akan mula menyumbangkan wang. Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak AS$100,000 kepada dana itu.

Pengerusi Kumpulan IDB Muhammad Sulaiman Al Jasser dalam ucapannya pada mesyuarat OIC pada Selasa berkata dana baharu itu menghantar “mesej solidariti yang kuat dengan saudara kita di Afghanistan.”

Keputusan untuk melancarkan inisiatif itu dibuat pada mesyuarat khas menteri luar OIC di Pakistan pada Disember tahun lalu ketika krisis kemanusiaan Afghanistan meruncing.

Pentadbiran baharu Afghanistan yang dipimpin Taliban sedang melibatkan diri dengan masyarakat antarabangsa untuk menstabilkan keadaan di negara itu berikutan pengunduran tentera asing yang diketuai AS dan kejatuhan rejim yang disokong Barat sebelum ini pada Ogos 2021.

OIC meningkatkan kehadirannya di Kabul untuk menyelaraskan usaha kemanusiaannya.

Utusan Khas OIC ke Afghanistan,Tarig Bakhiet, bertemu Penolong Setiausaha Agung PBB untuk Asia Barat, Asia dan Pasifik Mohamed Khaled Khiari, dan Akbar Azeemi dari Kementerian Luar Afghanistan, di luar mesyuarat OIC untuk membincangkan perkembangan terbaharu di Afghanistan.

Tarig juga mengadakan pertemuan dengan Penolong Setiausaha Negara AS untuk Keselamatan Awam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Uzra Zeya bagi membincangkan situasi kemanusiaan di Afghanistan.

OIC turut menggesa agar dana berbilion dolar Afghanistan yang dibekukan di AS dipulangkan.

“Kami menekankan bahawa akses awal Afghanistan kepada sumber kewangannya adalah penting bagi mencegah kemelesetan ekonomi dan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan; dan menyeru agar aset negara Afghanistan yang dibeku dikembalikan kepada rakyatnya yang berhak,” kata OIC dalam kenyataannya.

Anggota OIC menyokong kerajaan Afghanistan dan mahu pentadbiran baharu memberi keutamaan kepada keperluan pendidikan wanita dan gadis.

“Kami menyedari bahawa keamanan dan kestabilan yang mampan di Afghanistan hanya boleh terjamin melalui pembentukan kerajaan yang komprehensif, meluas dan inklusif dengan penyertaan semua etnik Afghanistan,” kata kenyataan itu.

Ia menggesa masyarakat antarabangsa “untuk terus berhati-hati terhadap kemungkinan hasutan dan peranan perosak, di dalam dan di luar negara, yang bertujuan menggagalkan usahamemastikan keamanan dan kestabilan di Afghanistan.” – Bernama, 24 Mac, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen