Tempoh kuarantin petugas kesihatan positif Covid-19 dikurangkan sehari, kata Khairy 


Raevathi Supramaniam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata petugas kesihatan yang kembali bekerja awal tidak akan menjejaskan keselamatan pesakit kerana mereka memakai peralatan perlindungan peribadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

PETUGAS kesihatan yang dijangkiti Covid-19 diminta memendekkan tempoh kuarantin mereka sehari dan kembali bekerja kerana kementerian kekurangan kakitangan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menteri kesihatan berkata kemudahan penjagaan kesihatan mengalami lebih daripada 6% ketidakhadiran daripada tenaga kerjanya di seluruh negara.

Sebanyak 19,420 petugas kesihatan tidak hadir pada 23 Mac.

Daripada jumlah ini, 18,354 (94.5%) disahkan dijangkiti Covid-19 manakala 1,066 (5.5%) adalah kontak rapat.

“Ini mewakili kadar ketidakhadiran sebanyak 6.8% daripada jumlah tenaga kerja KKM di seluruh negara.

“Sejak 4 Mac, kadar ketidakhadiran telah melebihi 6%,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Khairy berkata keputusan untuk meminta petugas kesihatan kembali bekerja pada hari keenam kuarantin dilakukan atas permintaan pengarah hospital.

Tempoh kuarantin penuh untuk mereka yang lengkap vaksinasi ialah tujuh hari. Mereka yang tidak divaksin mesti dikuarantin selama 10 hari.

“Langkah-langkah yang dicadangkan telah dibentangkan dan diluluskan oleh Mesyuarat Eksekutif Covid-19 Kebangsaan pada 15 Mac,” katanya.

Tambah Khairy petugas kesihatan yang kembali bekerja awal tidak akan menjejaskan keselamatan pesakit kerana mereka memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mulai 24 Februari, kontak rapat yang tidak menunjukkan gejala dan telah menerima dos penggalak tidak perlu menjalani kuarantin wajib tetapi mesti melakukan ujian kendiri. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen