KIRA-kira dua juta penerima Sinovac dijangka kehilangan status lengkap vaksinasi pada 1 April, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
“Kami mendapati bahawa 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Dalam masa seminggu, kami menjangkakan terdapat dua juta penerima Sinovac yang akan kehilangan status lengkap vaksinasi.”
Pada 16 Disember lalu, Khairy mengumumkan bahawa keistimewaan vaksinasi lengkap akan ditarik balik daripada penerima vaksin Sinovac, serta mereka yang berumur 60 tahun ke atas, jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak menjelang 28 Februari.
Pada 24 Februari, kerajaan melanjutkan tarikh akhir kepada 31 Mac.
Khairy berkata bagi mereka yang merancang untuk melawat Singapura sebaik sahaja sempadan dibuka semula, republik itu juga memerlukan dos ketiga bagi penerima Sinovac untuk dianggap telah divaksin sepenuhnya.
“Jika anda ingin menikmati lawatan anda ke Singapura tanpa kuarantin, anda tahu apa yang perlu dilakukan.”
Sebelum ini, mereka yang telah disuntik dengan vaksin Sinovac diminta mendapatkan dos penggalak dari jenis berbeza, kerana Sinovac dilaporkan tidak begitu berkesan terhadap varian Omicron.
Selepas itu, kerajaan membenarkan penerima Sinovac mendapatkan dos penggalak Sinovac, memetik data yang menunjukkan sebahagian besar penerima Sinovac teragak-agak untuk menerima vaksin daripada pembuat lain. – 24 Mac, 2022.
Komen