PENGEMBARA yang telah divaksin dan masuk ke Malaysia mulai 1 April dikehendaki mengaktifkan MySejahtera, menjalani ujian RT-PCR sebelum berlepas selain membeli insurans perjalanan dan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) atau kuarantin masih diperlukan semasa ketibaan jika pengembara disahkan positif Covid-19, dengan tempoh bergantung pada status vaksinasi.
Ini antara sorotan protokol umum untuk pengembara apabila Malaysia membuka semula sempadan.
Hanya kanak-kanak bawah umur enam tahun dikecualikan ujian sebelum berlepas dan semasa ketibaan, kata Khairy.
“Sebelum berlepas, pengembara dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Mereka dikehendaki lengkapkan deklarasi perjalanan mereka, termasuk maklumat vaksinasi. Mereka perlu melaporkan dan muat naik keputusan Ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.
“Manakala bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh enam hingga 60 hari, mereka perlu melaporkan dan muatnaik keputusan RTK Antigen Profesional yang telah dilakukan 2 hari sebelum berlepas,” katanya.
Bagi pengembara bukan warganegara, mereka dikehendaki membeli insurans perjalanan dan Covid-19.
Semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), pengembara akan melalui saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala untuk pemeriksaan lanjut di kaunter kesihatan di PMA.
Tempoh kuarantin
Mengenai pengasingan di rumah, Khairy berkata pengembara yang telah divaksin sepenuhnya akan menerima kad pengembara manakala bagi pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi akan diberi HSO.
Mereka yang tidak mempunyai kad pengembara atau HSO tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan mereka, tambah Khairy.
Semua pengembara mesti mengambil ujian RTK-Antigen profesional 24 jam selepas ketibaan, yang boleh dibuat di lapangan terbang atau di klinik swasta di luar, kata Khairy.
Tempoh HSO mereka akan bergantung pada keputusan ujian selepas ketibaan.
Jika positif, pengembara yang divaksin sepenuhnya akan diberikan HSO tujuh hari untuk pesakit kategori 1 dan 2.
“Namun, bagi kategori 3 dan ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di PKRC atau hospital swasta. Itulah sebabnya insurans itu penting.”
Pengembara yang tidak divaksin yang didapati positif akan dikenakan 10 hari HSO, katanya.
Bagi pengembara yang tidak diberi vaksin yang ujian negatif dalam ujian selepas ketibaan, mereka perlu menjalani HSO lima hari dan menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Antigen profesional pada hari kelima.
“Jika ujian pada hari keempat atau kelima kembali positif, mereka akan menjalani tambahan lima hari HSO.”
Malaysia memulakan fasa peralihan kepada endemik pada 1 April. Ia juga akan membuka sempadan antarabangsa buat kali pertama sejak dua tahun. – 24 Mac, 2022.
Komen