BEIJING pada Khamis menuduh ketua Nato “menyebarkan maklumat salah” apabila mendakwa China menyokong operasi tentera Rusia di Ukraine, di tengah-tengah tekanan antarabangsa untuk menjauhkan diri dari Moscow.
China enggan mengutuk sekutu rapat Rusia berhubung pencerobohan ke atas Ukraine malah dilihat ketinggalan di belakang banyak negara lain dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara yang dilanda perang itu.
Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg pada Rabu menuduh China memberi sokongan politik kepada Rusia ketika ia menyerang Ukraine dengan “menyebarkan pembohongan terang-terangan”, dan memberi amaran kepada Beijing supaya tidak memberikan sokongan material kepada usaha perang Moscow.
China perlu “menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB, mengelak daripada menyokong perang Rusia, dan menyertai seluruh dunia dalam menyeru agar perang ini ditamatkan dengan segera dan aman,” katanya.
Namun jurucakap kementerian luar Beijing, Wang Wenbin berkata dengan “menuduh China menyebarkan maklumat palsu mengenai Ukraine adalah menyebarkan maklumat yang salah”.
“Kedudukan China konsisten dengan kehendak kebanyakan negara… sebarang tuduhan dan syak wasangka yang tidak wajar terhadap China akan dikalahkan,” katanya pada sidang media harian pada Khamis.
“Kami sentiasa bertegas yang Ukraine perlu menjadi jambatan antara Timur dan Barat, bukannya berada di barisan hadapan dalam perlawanan antara kuasa besar.”
Dalam tempoh sebulan, perang telah mewujudkan lebih 3.6 juta pelarian dan menyebabkan lebih 970 kematian orang awam, menurut angka PBB, selain mencetuskan sekatan antarabangsa yang bertubi-tubi ke atas Rusia sehingga ekonominya lumpuh.
Pegawai Amerika Syarikat (AS) menuduh China memberi isyarat “kesediaan” untuk memberikan bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Rusia, dan berkata mereka akan “memerhati dengan teliti” untuk melihat jika Beijing menghantar senjata.
“China telah memberikan Rusia sokongan politik, termasuk dengan menyebarkan pembohongan terang-terangan dan maklumat salah, dan sekutu bimbang China boleh memberikan sokongan material untuk pencerobohan Rusia,” kata Stoltenberg menjelang sidang kemuncak Nato, di mana Presiden AS Joe Biden dijangka membincangkan Ukraine dengan sekutu.
Beijing berkata ia bersedia memainkan peranan dalam usaha pengantaraan gencatan senjata, tetapi setakat ini tidak komited untuk mengadakan rundingan damai. – AFP, 24 Mac, 2022.
Komen