Peluru berpandu Korea Utara dipercayai jatuh di Jepun, kata kerajaan


Menteri Pertahanan Jepun Makoto Oniki berkata perluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Korea Utara telah mendarat di kawasan zon ekonomi eksklusif Jepun, mendakwa ICBM jenis baharu berbanding yang dilancarkan pada 2017 (gambar). – Gambar EPA, 24 Mac, 2022.

PELURU berpandu balistik antara benua (ICBM) Korea Utara yang disyaki dilancarkan pada petang Khamis telah jatuh dalam zon ekonomi eksklusif Jepun, di barat pantai di utara negara itu, kata kerajaan.

“Analisis semasa kami menunjukkan peluru berpandu balistik itu terbang selama 71 minit dan sekitar pukul 15.44 waktu tempatan, ia mendarat di perairan dalam zon ekonomi eksklusif Jepun di Laut Jepun kira-kira 150 kilometer ke barat semenanjung Oshima di Hokkaido,” kata Menteri Pertahanan Jepun Makoto Oniki. 

“Memandangkan peluru berpandu balistik kali ini terbang pada ketinggian lebih 6,000 km, yang jauh lebih tinggi daripada ICBM Hwasong-15 yang dilancarkan pada November 2017. Peluru hari ini dipercayai jenis baharu,” tambahnya.

Beliau berkata kementerian itu tidak menerima sebarang laporan kerosakan pada kapal atau kapal terbang, menyebut pelancaran itu sebagai “ancaman serius” kepada keselamatan Jepun.

“Pada masa dunia sedang berhadapan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Korea Utara meneruskan pelancaran yang secara unilateral memburukkan provokasi terhadap masyarakat antarabangsa, yang sememangnya tidak boleh dimaafkan,” kata Oniki. – AFP, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen