Putin silap besar ceroboh Ukraine, kata Nato


Mural Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang masing-masing dipaparkan memakai lencana Nazi yang dilukis oleh artis LKN, di Pamplona, Sepanyol, sebagai karya bantahan terhadap konflik kedua buah negara itu. – Gambar EPA, 24 Mac, 2022.

KETUA Nato Jens Stoltenberg pada Khamis menuduh Presiden Rusia Vladimir Putin melakukan kesilapan besar dengan menceroboh Ukraine, ketika para pemimpin berkumpul untuk membincangkan tentang pertahanan timur gabungan itu.

“Presiden Putin telah melakukan kesilapan besar dengan melancarkan perang menentang negara berdaulat lagi merdeka. Beliau memandang rendah kekuatan rakyat Ukraine, keberanian rakyat Ukraine dan angkatan bersenjata mereka,” kata Stoltenberg menjelang sidang kemuncak Nato di Brussels.

Stoltenberg berkata pemimpin pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat (AS) akan “memberi perhatian kepada keperluan untuk menetapkan semula pencegahan dan pertahanan dalam jangka panjang”, bermula dengan menyetujui penempatan baharu kepada anggota timur Romania, Hungary, Slovakia dan Bulgaria.

Nato telah pun mengerakkan puluhan ribu tentera ke timur bloknya susulan pencerobohan Rusia bagi menentang sebarang ancaman daripada konflik ke negara-negara perikatan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, yang negaranya bukan dalam Nato, bersedia untuk merayu lebih banyak senjata dan campur tangan yang lebih besar ketika beliau berusaha memujuk Barat supaya bertindak lebih keras.

“Kami sedang menunggu langkah yang bermakna. Daripada Nato, Kesatuan Eropah (EU) dan G7,” kata Zelensky menjelang sidang kemuncak ketiga-tiga organisasi di Brussels.

“Pada tiga sidang kemuncak ini kita akan lihat: Siapa kawan, siapa sekutu, dan siapa yang mengkhianati kita kerana wang. Kehidupan boleh dipertahankan apabila bersatu.”

Pemimpin Nato berikrar untuk meningkatkan penghantaran senjata kepada Ukraine dan membekalkan perlindungan terhadap ancaman kimia dan nuklear dari Rusia.

Namun perikatan itu menolak rayuan Kyiv untuk mengenakan zon larangan terbang bagi membantu menghentikan serangan Rusia kerana bimbang akan diseret “sepenuhnya” ke dalam konflik dengan Moscow.

“Kami ada tanggungjawab untuk memastikan konflik ini tidak meningkat di luar Ukraine yang akan menyebabkan lebih banyak penderitaan, lebih banyak kematian, malah lebih banyak kemusnahan,” kata Stoltenberg.

Presiden AS Joe Biden memberi amaran sebelum menuju ke Eropah tentang “ancaman sebenar” Kremlin boleh menggunakan senjata kimia di Ukraine.

Stoltenberg memberitahu wartawan “sebarang penggunaan senjata kimia secara asasnya akan mengubah sifat konflik”.

“Ia akan menjadi pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, dan ia akan membawa akibat yang meluas dan teruk.” – AFP, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen