FIRMA bioteknologi Amerika Syarikat, Moderna mengesahkan ia dalam proses mendapatkan kelulusan kawal selia vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak enam bulan hingga enam tahun susulan kajian membabitkan dua suntikan dikesan selamat dan menghasilkan tindak balas imunisasi yang kuat.
Dua dos 25 mikrogram yang diberikan kepada kumpulan umur itu menghasilkan tahap antibodi yang sama kepada dua dos 100 mikrogram diberikan kepada golongan remaja 18 hingga 25 tahun dan ia menunjukkan tahap perlindungan sama akan berlaku.
Berdasarkan data itu, Moderna berkata pihaknya akan memohon kebenaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA), Agensi Ubat Eropah (EMA) dan pengawal selia global lain dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel berkata keputusan itu berita baik untuk ibu bapa kanak-kanak di bawah usia enam tahun.
“Kami kini ada data klinikal mengenai prestasi vaksin kami dari bayi berusia enam bulan hingga orang dewasa yang lebih tua,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu bagaimanapun turut mendapati, keberkesanan vaksin agak rendah terhadap jangkitan dengan percubaannya dilaksanakan ketika gelombang Omicron.
Keberkesanan vaksin pada kanak-kanak enam bulan hingga dua tahun adalah 43.7%, manakala keberkesanan vaksin adalah 37.5% pada kumpulan usia dua hingga bawah enam tahun.
Moderna berkata ia konsisten dengan apa yang didapati dalam kalangan orang dewasa dan syarikat itu sedang menilai dos ketiga untuk meningkatkan tahap keberkesanan. – AFP, 24 Mac, 2022.
Komen