KEBOCORAN gas klorin di arena kolam renang yang digunakan ketika Olimpik London 2012 menyebabkan 29 mangsa dikejarkan ke hospital susulan menghadapi kesukaran bernafas, kata perkhidmatan kecemasan semalam.
Kira-kira 200 orang dibawa keluar dari Pusat Akuatik di timur London itu dan perkhidmatan kecemasan menyifatkan ia sebagai insiden besar.
“Pagi ini kami berkejar ke Pusat Akuatik London di Stratford, bersama pasukan bomba dan polis susulan insiden besar di sana,” kata Darren Farmer dari perkhidmatan ambulans London.
“Kru kami membawa 29 pesakit ke hospital dan melakukan saringan terhadap 48 lagi di tempat kejadian. Kebanyakan pesakit mengalami kesukaran bernafas,” katanya.
Orang ramai yang masih berpakaian renang dilihat di luar arena itu, sementara saksi berkata sekurang-kurangnya seorang mangsa terpaksa dibawa dengan pengusung.
Kira-kira 30 kenderaan kecemasan termasuk polis, ambulans dan bomba dilihat di kawasan itu, sementara anggota bomba lengkap dengan peralatan pernafasan keluar masuk bangunan.
“Insiden berlaku akibat reaksi kuantiti tinggi gas klorin yang dibebaskan di dalam pusat akuatik.
“Sementara kami membersihkan aliran udara di premis ini, kami minta penduduk di kawasan sekitar untuk menutup pintu dan tingkap rumah masing-masing,” kata bomba.
Pusat itu satu-satunya premis yang menyediakan kolam renang bersaiz olimpik di London. – AFP, 24 Mac, 2022.
Komen