Perancis sita 2 kapal layar milik jutawan Russia


Sepanyol, Itali dan Britain turut merampas kapal layar milik rakyat Russia sebagai usaha EU memberi tekanan kepada Putin menghentikan perangnya di Ukraine. – Gambar AFP, 24 Mac, 2022.

PIHAK berkuasa Perancis menyita dua kapal layar mewah milik salah seorang ahli perniagaan Russia paling berpengaruh, sebagai antara langkah terkini kerajaan Barat merampas aset sekutu Presiden Vladimir Putin susulan pencerobohan dilakukannya terhadap Ukraine.

Kapal layar sepanjang 17 meter, “Little Bear I” bernilai AS$22 juta milik Alexey Kuzmichev, pemegang saham utama konglomerat Alfa disita di sebuah resort Mediterranean di Cannes pada 16 Mac, kata sumber kerajaan.

Sebuah lagi kapal layar milikinya, “Little Bear II” yang sepanjang 26 meter dilaporkan bernilai 70 juta euro, dirampas pada Isnin ketika sedang dalam proses baik pulih di Antibes.

Kuzmichev, 59, diketahui mempunyai ikatan rapat dengan presiden Russia, kata Kesatuan Eropah (EU) pada 15 Mac dalam satu kenyataan, mengumumkan sekatan terhadap rakyat Russia yang rapat dengan Putin.

Sebagai jutawan yang menjadi antara pembayar cukai terbesar Russia, dia dituduh menyediakan sumber kewangan kepada kerajaan Persekutuan Russia yang bertanggungjawab terhadap pengilhakan Crema dan menceroboh Ukraine, kata kenyataan itu.

French Riviera menjadi lokasi rehat kegemaran elit Russia, dengan ramai antara mereka meraih kekayan kerana memberikan kesetiaan kepada Putin, sejak ia menjadi presiden pada 2000.

Awal bulan ini, pihak berkuasa Perancis merampas “Amore Vero” iaitu kapal layar mewah milik Igor Sechin, dengan kapal sepanjang 86 meter itu dilaporkan bernilai AS$120 juta.

Sepanyol, Itali dan Britain turut merampas kapal layar milik rakyat Russia sebagai usaha EU memberi tekanan kepada Putin untuk menghentikan perangnya di Ukraine. – AFP, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen