PRESIDEN Vladimir Putin merancang untuk menghadiri sidang kemuncak G20 akhir tahun ini di Indonesia, kata duta Moscow pada Rabu, menolak cadangan Rusia boleh dikecualikan daripada kumpulan itu berhubung konflik di Ukraine.
Sehari sebelum itu, Amerika Syarikat menyatakan ia akan berunding dengan sekutu mengenai keahlian Rusia dalam forum antarabangsa untuk meningkatkan tekanan terhadap pencerobohan Ukraine, yang telah menyebabkan krisis pelarian di Eropah dan menggemparkan pasaran global.
Duta Besar Rusia ke Indonesia Lyudmila Vorobieva berkata tuan rumah G20 Jakarta telah pun menjemput Putin ke sidang kemuncak ketua negara pada November di Bali.
“Ia bergantung kepada banyak perkara, termasuk situasi Covid yang semakin baik. Tetapi, setakat ini ya, niatnya adalah untuk datang,” katanya kepada pemberita pada hari Rabu.
Vorobieva berkata terdapat percubaan oleh negara Barat untuk mengusir Rusia daripada organisasi dunia, termasuk Kumpulan 20 ekonomi utama, menyifatkannya sebagai reaksi “tidak seimbang”.
Rusia, tambahnya, menghargai “kedudukan kukuh” Indonesia selepas Jakarta berulang kali berkata forum itu adalah untuk menyelesaikan masalah ekonomi.
China pada Rabu juga menolak cadangan Rusia boleh dikecualikan, berkata negara itu adalah “anggota penting” G20.
Beijing telah menyediakan tahap perlindungan diplomatik apabila Rusia semakin dipencilkan, dan ekonominya terikat oleh sekatan Barat.
“G20 adalah forum utama untuk kerjasama ekonomi antarabangsa,” kata jurucakap kementerian luar China Wang Wenbin kepada pemberita.
“Rusia adalah ahli penting, dan tiada ahli ada hak untuk usir negara lain.”
Indonesia, yang kini memegang jawatan presiden bergilir G20, berkata ia akan memastikan forum pada November itu menumpukan pada objektif awalnya, membayangkan ia merancang untuk mengelak isu konflik Rusia-Ukraine daripada agenda.
“Sudah tentu, pengusiran Rusia daripada forum seperti ini tidak akan membantu masalah ekonomi ini diselesaikan. Sebaliknya, tanpa Rusia, ia akan menjadi sukar,” kata Vorobieva.
“Kami amat berharap kerajaan Indonesia tidak akan tunduk kepada tekanan ngeri yang dikenakan bukan sahaja kepada Indonesia, malah begitu banyak negara di dunia oleh Barat.”
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan pada Selasa berkata Washington akan berunding dengan sekutu mengenai keahlian G20 Rusia.
“Kami percaya ia tidak boleh jadi seperti biasa bagi Rusia dalam institusi antarabangsa dan dalam masyarakat antarabangsa,” katanya pada taklimat akhbar.
Rusia sebelum ini digantung selama-lamanya daripada Kumpulan Lapan ekonomi utama pada 2014 berikutan isu pengambilan Crimea dari Ukraine. Kumpulan itu dinamakan semula sebagai G7. – AFP, 23 Mac, 2022.
Komen