TALIBAN mengarahkan sekolah menengah perempuan di Afghanistan ditutup hanya beberapa jam selepas ia dibuka semula, menurut seorang pegawai, sekali gus mencetuskan kekeliruan mengenai dasar kumpulan Islam garis keras itu.
“Ya, benar,” kata jurucakap Taliban, Inamullah Samangani kepada AFP apabila diminta mengesahkan laporan pelajar perempuan telah diarah pulang.
Pasukan AFP sedang membuat penggambaran di Sekolah Tinggi Zarghona di ibu negara Kabul apabila seorang guru masuk dan mengarahkan semua orang pulang.
Pelajar yang kecewa, kembali ke kelas buat kali pertama sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu, mengemas barang-barang mereka dengan sebak sebelum keluar.
Komuniti antarabangsa telah menjadikan hak pendidikan untuk semua sebagai perkara penting dalam rundingan mengenai bantuan dan pengiktirafan rejim Taliban yang baharu. – AFP, 23 Mac, 2022.
Komen