PIHAK berkuasa Shanghai pada Rabu menyeru agar bertenang ketika rakyat membanjiri kedai runcit dalam talian untuk menyimpan makanan kerana bimbang akan berlaku penutupan di bandar yang bergelut menghentikan lonjakan Covid.
China sedang berhadapan penularan Covid-19 yang paling teruk sejak permulaan pandemik lebih dua tahun lalu, dengan Shanghai mencatatkan rekod kes tertinggi berikutan varian Omicron.
Bandar terbesar di China itu pada Rabu melaporkan 981 kes, jumlah yang lebih kecil berbanding bilangan harian sebelumnya.
Shanghai telah bertindak balas terhadap pandemik dengan melaksanakan penutupan bersasar di kawasan dengan kes yang disahkan atau ada kontak rapat, bukannya menutup seluruh bandar.
Tetapi apabila jumlah kes meningkat, begitu juga kebimbangan orang ramai, dengan penduduk menggunakan media sosial untuk menyatakan kebimbangan akan berlaku penutupan di seluruh bandar dengan populasi kira-kira 25 juta orang.
Rakyat mengadu tentang mesej kerajaan yang tidak jelas dan menyuarakan kebimbangan terhadap imej tapak ujian yang semakin meluas selain pengumuman minggu ini ada beberapa arena tertutup telah diubah menjadi tapak kuarantin besar-besaran.
“Kami berharap semua orang tidak percaya atau sebarkan khabar angin, terutamanya tidak menyebarkan khabar angin secara berniat jahat yang menyebabkan panik dalam masyarakat,” kata Wu Jinglei, ketua suruhanjaya kesihatan Shanghai pada sidang media harian.
Mereka yang menyebarkan khabar angin akan “memikul tanggungjawab undang-undang,” tambahnya.
“Semua orang bekerja keras untuk memastikan bandar ini selamat.”
Kedai-kedai sibuk apabila pengguna menyimpan stok, dan imej media sosial yang diedarkan lewat Selasa menunjukkan ramai pembeli berkumpul di pasar sayur-sayuran luar. Imej tidak dapat disahkan secara bebas. – AFP, 23 Mac, 2022.
Komen