Bintang tenis Australia Ash Barty umum persaraan mengejut


Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Ashleigh Barty umum persaraannya kerana sudah hilang semangat untuk bersaing di pentas antarabangsa. – Gambar EPA, 23 Mac, 2022.

PEMAIN tenis wanita nombor satu dunia, Ashleigh Barty membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya kerana sudah hilang semangat untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Pengumuman itu dibuatnya menerusi satu rakaman video yang disiarkan di media sosial pada Rabu, lapor Xinhua.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya sepanjang karier saya,” kata pemain berasal dari Australia itu.

Dalam temu bual dengan rakan karibnya, Barty, 25, beliau berkata “saya akan memberikan segala-galanya ketika beraksi.”

“Saya memberikan segala yang saya mampu untuk sukan tenis dan bangga dengan apa yang saya berikan,” kata Barty.

Pengumuman itu dibuat dua bulan selepas Barty muncul sebagai rakyat Australia pertama memenangi Terbuka Australia sejak 1978.

Bintang tenis itu menamatkan kariernya dengan tiga gelaran Grand Slam – Terbuka Perancis pada 2019, Wimbledon 2021 dan Terbuka Australia 2022 dengan menewaskan pemain Amerika Danielle Collins di final. – Bernama, 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen