PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky dijemput berucap pada sidang kemuncak khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini bagi membincangkan pencerobohan Russia ke atas negaranya.
“Presiden Zelensky dijemput untuk berucap pada sidang kemuncak NATO melalui panggilan video.
“Ini akan menjadi peluang bagi pemimpin sekutu untuk mendengar secara langsung daripada Presiden Zelensky mengenai situasi buruk yang dihadapi rakyat Ukraine kerana pencerobohan Russia,” kata seorang pegawai NATO semalam.
Jurucakap Zelensky, Serhiy Nykyforov turut mengesahkan pemimpin Ukraine itu akan berucap pada sidang kemuncak itu.
Katanya, Zelensky akan mendapatkan bantuan untuk menamatkan pencerobohan Russia.
“Ini mungkin dalam beberapa bentuk. Tutup ruang udara, sediakan Ukraine dengan sistem pertahanan udara dan penerbangan yang berkesan.
“Sekutu NATO membantu Ukraine untuk memperkukuh haknya bagi mempertahan diri dengan sejumlah besar peralatan ketenteraan kritikal.
“Pada sidang kemuncak itu, sekutu dan Ukraine akan membincangkan perkara yang boleh dilakukan oleh sekutu untuk mengukuhkan sokongan kami terhadap Ukraine,” katanya.
Sidang kemuncak itu berlangsung bersama dengan sidang kemuncak G7 dan sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang juga akan diadakan di Brussels. – AFP, 23 Mac, 2022.
Komen