KERAJAAN Jepun pada Selasa memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan elektrik yang meluas untuk Tokyo dan kawasan sekitarnya apabila loji janakuasa yang dilanda gempa bumi kuat minggu lalu bergelut untuk memenuhi permintaan yang meningkat disebabkan suhu sejuk.
Kerajaan mengeluarkan amaran gangguan elektrik buat pertama kalinya untuk ibu kota dan wilayah lain, dengan bekalan terputus kerana beberapa loji janakuasa haba masih ditutup selepas gempa bumi.
Kementerian industri menyeru orang ramai untuk menjimatkan tenaga sepanjang hari Selasa, tetapi dengan salji dan suhu sejuk di ibu negara, permintaan kekal tinggi.
“Kami hanya mencapai penjimatan kuasa sekitar 1.5 juta kilowatt, iaitu dua hingga 3.5 juta kilowatt kurang daripada paras sasaran,” kata Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Koichi Hagiuda.
“Jika ini berterusan, kita menghampiri situasi yang mana kita perlu melakukan pemotongan elektrik secara meluas, seperti yang dilakukan pada hari gempa bumi, untuk mengelakkan pemadaman total.”
Masalah itu dipercayai situasi kuasa paling sukar di kawasan Tokyo sejak Mac 2011, apabila pemadaman berterusan dimulakan selepas tsunami yang dicetuskan gempa melumpuhkan loji nuklear Fukushima dan kemudahan nuklear lain ditutup.
Kekurangan bekalan semasa sebahagiannya disebabkan oleh gempa bumi kuat 7.4 magnitud di timur laut Jepun minggu lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan merosakkan beberapa loji kuasa haba.
Operasi di enam loji kini digantung kerana kerosakan pada dandang, transformer dan turbin, kata seorang pegawai kementerian industri kepada AFP.
Walaupun sesetengahnya dijangka beroperasi semula pada akhir Mac, bagi yang lain pembaikan boleh mengambil masa beberapa bulan, kata pegawai itu.
Masalah bekalan itu berlaku apabila suhu serendah dua darjah Celcius (35 Fahrenheit) melanda Tokyo, sejuk di luar musim sejak beberapa minggu kebelakangan ini. – AFP, 22 Mac, 2022.
Komen