MAHKAMAH Rusia pada Selasa mendapati pengkritik Kremlin yang dipenjarakan Alexei Navalny bersalah atas tuduhan penyelewengan yang boleh menyebabkan hukuman penjaranya dilanjutkan.
“Navalny melakukan penipuan—penyelewengan harta oleh kumpulan terancang,” kata hakim Margarita Kotova, menurut seorang wartawan AFP yang hadir pada perbicaraan itu.
Navalny, yang merupakan pengkritik paling lantang Presiden Vladimir Putin, dipenjarakan tahun lalu atas tuduhan penipuan selepas terselamat daripada serangan racun dengan agen saraf Novichok yang mana beliau menyalahkan Kremlin.
Perbicaraan pada Selasa membabitkan kes penyelewengan tambahan dan tuduhan menghina mahkamah dan Navalny telah dibicarakan di koloni penjara di luar Moscow yang mana beliau sudah pun menjalani hukuman dua tahun setengah.
Navalny hadir di mahkamah sementara memakai pakaian seragam penjara hitamnya, dengan wartawan menonton melalui pautan video.
Beliau mendengar dengan teliti ketika hakim Kotova membacakan keputusan itu, kadangkala tersenyum, kata seorang wartawan AFP.
Penyiasat menuduh Navalny mencuri wang derma kepada organisasi politiknya bernilai beberapa juta dolar untuk kegunaan peribadi. – AFP, 22 Mac, 2022.
Komen