PEMANDU bas dua tingkat yang terbalik di Hong Kong, mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan mencederakan lebih 60 penumpang ditangkap pada petang Sabtu kerana memandu secara berbahaya, kata polis.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan para penyelamat cuba mendapatkan penumpang yang terperangkap di dalam bas, yang menyaksikan sebahagian bumbungnya terkopak di bandar Tai Po di utara Wilayah Baru.
Ia dikatakan tergelincir di tepi jalan dan melanggar sebuah tiang lampu yang menghimpap dek bahagian atas.
Pemandu ditangkap atas tuduhan menyebabkan kematian dan kecederaan tubuh yang teruk dengan pemanduan scara berbahaya.
Dalam jumlah yang dikemaskini pada awal pagi Ahad, pihak berkuasa hospital di bandaraya itu berkata seorang lagi mangsa telah meninggal dunia, menjadikan jumlah kesemuanya 19 orang.
Sepuluh orang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 20 lagi cedera parah, kata pegawai.
Kebanyakan yang maut dan cedera berada di dek atas bas, kata Chan Hing-yu daripada jabatan bomba kepada pemberita.
Pemandu itu disyaki melebihi had laju ketika menuruni cerun dan hilang kawalan, kata penguasa trafik kanan Lee Chi-wai kepada wartawan.
Dia tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan selepas kemalangan itu dan ia berada dalam keadaan sihat, katanya. – AFP, 11 Februari, 2018.
Komen