PARAMETER fizikokimia persekitaran dan sumber air di China kini sudah melepasi pencapaian sesetengah negara maju berikutan kejayaan pelaksanaan “kempen air jernih” yang berterusan.
Demikian menurut Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China sempena Hari Air Sedunia yang disambut hari ini.
Kualiti air Sungai Yangtze kekal pada paras yang baik susulan pelaksanaan siri pendekatan secara pintar dan bersasar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Daerah Jiangxia, bandar Wuhan yang terletak di kawasan aliran Sungai Yangtze mempunyai hampir 150 tasik dengan saiz yang berbeza.
Program dikenali “air jernih mengalir ke sungai” kendalian pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting bagi mencegah pengaliran air tercemar ke sungai dan tasik.
Dengan pembinaan jaringan paip saluran air dan loji rawatan air kumbahan secara serentak, program yang turut didukung teknologi pintar itu mampu mengumpulkan semua air tercemar serta menguruskannya secara menyeluruh dan berkesan.
Selain itu, pemuliharaan keadaan ekologi sungai dan tasik juga diberi keutamaan dalam usaha perlindungan air di China ketika ini.
Ia termasuk program “hutan bawah air” di kaunti Deqing, provinsi Zhejiang yang mula dilaksanakan pada 2018 bagi memulihkan sistem ekologi di tasik dan kolam.
Dengan penanaman tumbuhan akuatik, program itu menyasar membentuk rangkaian makanan seimbang terdiri tumbuh-tumbuhan dan pelbagai jenis hidupan air seperti ikan serta udang. – Bernama, 22 Mac, 2022.
Komen