Faktor usia, komorbiditi punca ramai pesakit kategori 1, 2 dirawat di hospital, kata pakar 


Raevathi Supramaniam

Mereka yang dijangkiti Covid-19 semasa mendapatkan rawatan untuk penyakit lain akan dimasukkan ke hospital yang sama, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

KEMASUKAN ke hospital pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 semakin meningkat disebabkan faktor risiko individu seperti umur dan komorbiditi, kata pakar kesihatan.

Persekitaran yang tidak sesuai atau kegagalan penjaga untuk mematuhi kuarantin di rumah juga antara faktor lain, kata mereka, sambil menambah sesetengah pesakit yang dimasukkan ke wad Covid-19 sementara dirawat untuk penyakit lain.

Pakar perunding kanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Tan Toh Leong berkata mereka dalam kategori 1 dan 2 hanya dimasukkan selepas penilaian sewajarnya oleh pusat penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital.

“Mereka yang hamil, pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, pesakit terlantar yang menghadapi masalah logistik akan dimasukkan selepas dinilai dengan betul oleh CAC dan hospital,” kata Dr Tan kepada The Malaysian Insight.

Mereka yang dijangkiti Covid-19 semasa mendapatkan rawatan untuk penyakit lain juga akan dimasukkan ke hospital yang sama, katanya.

“Ada antara mereka yang dimasukkan atas sebab lain, tetapi selepas disahkan positif Covid-19, kami akan segera pindahkan ke wad Covid-19.”

Daripada 1,239 kemasukan Covid-19 yang dilaporkan semalam, lebih 50% melibatkan pesakit dalam kategori 1 dan 2.

Terdapat 713 atau 57.7% pesakit kategori 1 dan 2, manakala 526 atau 42.5% adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata kebanyakan pesakit kategori 1 dan 2 berumur 60 tahun ke atas dimasukkan untuk tujuan pemantauan sekiranya keadaan mereka mula merosot di rumah.

Ini juga disebabkan oleh varian Omicron yang mempunyai kadar penularan yang tinggi.

Pesakit kategori 1 tidak bergejala. Kategori 2A melibatkan mereka yang mengalami simptom ringan seperti batuk, selesema dan demam manakala kategori 2B pula ialah mereka yang mengalami simptom sederhana dan serius seperti sesak nafas.

Mereka yang berada dalam kategori 2B dan berumur 60 tahun ke atas digalakkan ke CAC dan hospital untuk penilaian.

Lazimnya mereka yang berada dalam kategori 1 dan 2A diberi perintah kuarantin di rumah dan dipantau melalui MySejahtera, yang mana mereka dikehendaki mengemaskini status kesihatan mereka dua kali sehari.

Tempoh kuarantin bagi individu yang divaksin sepenuhnya adalah tujuh hari manakala mereka yang tidak divaksin sepenuhnya diwajibkan untuk dikuarantin selama 10 hari.

Pakar epidemiologi Dr Malina Othman berkata pemantauan yang lemah terhadap penyakit sedia ada juga boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit kategori 1 dan 2.

“Mereka dalam kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan biasanya antara mereka yang mempunyai glukosa tidak terkawal, tekanan darah, obesiti, mempunyai penyakit perubatan lain yang perlu dirawat.

“Dan juga, sebahagian daripada mereka adalah antara penjaga yang menjaga anak atau ibu bapa mereka di wad,” katanya.

Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin menambah bahawa persekitaran yang tidak kondusif untuk kuarantin di rumah juga boleh meningkatkan jumlah di hospital.

“Apabila mereka mempunyai faktor risiko tinggi dan penyakit kronik yang tidak dikawal dan persekitaran hidup yang tidak sesuai, ini boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital.” – 22 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen