Myanmar lakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya, kata AS


Suasana kem pelarian Rohingya berhampiran Sittwe, ibu kota Rakhine.– Gambar EPA, 21 Mac, 2022.

AMERIKA Syarikat pada Isnin secara rasmi akan mengisytiharkan bahawa keganasan terhadap minoriti Rohingya yang dilakukan oleh tentera Myanmar adalah pembunuhan beramai-ramai.

Ratusan ribu komuniti Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam melarikan diri dari Myanmar sejak 2017 selepas tindakan tentera yang kini menjadi subjek kes pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di The Hague.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan mengumumkan secara rasmi keputusan untuk menetapkan tindakan keras itu sebagai pembunuhan beramai-ramai dalam ucapan di Muzium Holocaust di Washington pada Isnin, yang mana pameran mengenai “Burma’s Path to Genocide”—menggunakan nama bekas untuk negara itu - - sedang dipamerkan.

Kira-kira 850,000 Rohingya ditempatkan di kem di negara jiran Bangladesh, menceritakan pembunuhan besar-besaran dan rogol, manakala 600,000 lagi anggota masyarakat kekal di negeri Rakhine Myanmar yang mana mereka melaporkan penindasan sedang berleluasa.

“Ini sepatutnya dilakukan sebelum ini, namun saya percaya keputusan AS akan membantu proses ICJ untuk Rohingya,” kata seorang etnik Rohingya di kem berhampiran Sittwe, ibu kota Rakhine.

Seorang aktivis hak asasi Rohingya Thin Thin Hlaing turut mengalu-alukan langkah AS itu.

“Saya rasa seperti sedang melalui hidup yang kelam tetapi sekarang kita melihat cahaya, kerana mereka menyedari penderitaan kita,” katanya kepada AFP. – AFP, 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen