PENDUDUK bandar Novoselytsya di utara Ukraine perlu mencari tempat berlindung selepas kebocoran ammonia di sebuah kilang kimia berdekatan, kata seorang pegawai semalam, ketika pertempuran sengit dengan tentera Rusia di kawasan itu berterusan.
Gabenor wilayah Sumy Dmytro Zhyvytsky berkata berlaku kebocoran ammonia di kemudahan Sumykhimprom sehingga menjejaskan kawasan dalam jarak 2.5 kilometer dari loji menghasilkan baja tersebut.
Tahap dan punca kejadian tidak jelas, namun penduduk diberitahu untuk mencari perlindungan di tingkat bawah tanah atau di tingkat bawah bangunan bagi mengelak pendedahan.
“Ammonia lebih ringan daripada udara, oleh itu tempat perlindungan, ruang bawah tanah dan tingkat bawah harus digunakan untuk perlindungan,” kata Zhyvytsky dalam mesej di Telegram.
Tambahnya kru kecemasan berada di tempat kejadian dan angin kencang bermakna bandar berdekatan Sumy - dengan populasi sebelum perang sekitar 250,000 - tidak berada di bawah ancaman serta-merta.
Menurut laman web Sumykhimprom, kemudahan itu menghasilkan pelbagai jenis baja kimia.
Sumy, kira-kira 350 kilometer dari timur Kyiv, telah mengalami pertempuran sengit sejak beberapa minggu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kerajaan Rusia telah mempergiatkan usaha propaganda dan penyelewengan yang mendakwa Ukraine sedang bersiap sedia untuk menggunakan senjata kimia buatan dan telah membangunkan program WMD rahsia.
Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa pada Ahad “nasionalis” telah “melombong” kemudahan penyimpanan ammonia dan klorin di Sumykhimprom “dengan tujuan meracuni beramai-ramai penduduk wilayah Sumy, sekiranya Angkatan Tentera Rusia masuk ke bandar itu.”
Rusia telah berulang kali menafikan membantu Syria menggunakan senjata kimia dalam pelbagai serangan terhadap rakyatnya sendiri semasa perang saudara 11 tahun di negara itu.
Moscow juga menafikan menggunakan senjata kimia terhadap ketua pembangkang Rusia Alexei Navalny serta bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia. – AFP, 21 Mac, 2022.
Komen