SEORANG pensyarah komunikasi massa baru-baru ini dijemput untuk berkongsi kesarjanaan beliau dalam satu webinar bicara akademik bertajuk “Penghayatan Simbolisme Berkaitan Institusi Beraja” anjuran pihak Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Amat menarik kupasan beliau berkenaan simbolisme di sebalik visual seperti warna kuning, istana, panji, nobat, gambar Yang di-Pertuan Agong pada wang kertas, alat kebesaran diraja, tengkolok, keris Taming Sari, pedang Cura Simanjakini, payung istana, tombak, dan lembing.
.jpg)
Semua visual ini penuh sarat dengan simbol kesenian dan keistimewaan Institusi Beraja dalam masyarakat Melayu dan semestinya UiTM amat tersohor dalam agenda “meletakkan Melayu di peta dunia”.
Namun masa mencemburui webinar tersebut kerana penceramah tidak sempat untuk mengupas penggunaan kata nama “hamba” sebagai simbolisme bahasa dalam masyarakat Melayu.
Mungkin webinar tersebut akan lebih menarik dengan kupasan berkenaan dengan simbolisme “hamba” dan “patik” dalam psikologi masyarakat Melayu.
Kata nama “hamba” bukan hanya tertumpu dalam budaya masyarakat Melayu sahaja. Perkataan “saya” dalam Bahasa Khmer di Kemboja adalah “khnyom” dan dalam sejarah asal maksud perkataan “khnyom” ini, ia juga bermaksud “hamba”.
Ini berkaitan dengan sejarah masyarakat Kemboja yang ketika zaman dahulu mempunyai budaya kekuasaan Raja dan Istana. Pemikiran feudalisme ini telah dijadikan salah satu alasan bagi puak “Khmer Rouge” untuk melancarkan revolusi yang berdarah sekitar 1975-1979 yang mengorbankan jutaan nyawa rakyat Kemboja.
Puak Khmer Rouge menggunakan alasan peri pentingnya membersihkan masyarakat Kemboja daripada feudalisme, kapitalisme dan imperialisme.
Dalam masyarakat Melayu, adat istiadat istana meletakkan aturan bahawa orang kebanyakan tidak membahasakan diri sendiri sebagai “saya”, sebaliknya perlu menggunakan perkataan “hamba” untuk merujuk kepada diri sendiri.
Perkataan ini juga mempunyai maksud yang berbeza dalam konteks atau suasana yang berlainan.
“Hamba abdi” sebagai contoh, merujuk kepada seorang manusia yang tidak mempunyai apa-apa hak terhadap diri sendiri dan merupakan barang kepunyaan kepada orang lain, iaitu “tuan”.
“Hamba berhutang” juga merupakan satu cabang dari institusi perhambaan dalam masyarakat Melayu lampau ketika ada yang menjadi “hamba” kepada pemiutang mereka setelah gagal melangsaikan hutang piutang.
Dalam adat istana, orang kebanyakan juga menggunakan perkataan “patik” untuk merujuk kepada diri sendiri. Perkataan “patik” ini juga penuh kontroversi.
Ada yang mengatakan makna “patik” adalah “anak anjing”. Akan tetapi ramai yang mengatakan bahawa makna sebenar “patik” adalah “hamba”.
Seorang “hamba” berada dalam kelas yang paling bawah, paling terpinggir dalam sistem masyarakat lampau.
Sistem perhambaan tradisional dalam masyarakat Melayu ini telah dimansuhkan oleh penjajah British di Perak secara rasmi pada 1 Januari 1884, setelah ia dimansuhkan di Selangor dan di Sungai Ujung sebelum itu.
“Hamba Raja” atau “Budak Raja” pula merujuk kepada golongan yang mengabdikan diri kepada Raja. Munsyi Abdullah merekodkan pemerhatian beliau mengenai “Hamba Raja” ini dalam buku “Kisah Pelayaran Abdullah”. Mereka ini bekas penjenayah yang mengabdikan diri kepada Raja.
“Hamba Raja” ini digeruni oleh orang kebanyakan disebabkan oleh perlindungan yang diberikan oleh Raja; mereka dikatakan bermaharajalela dan bebas berbuat apa sahaja termasuklah membunuh orang lain serta merampas harta benda orang lain.
Ada juga ahli akademik yang telah menulis bahawa jati diri sebagai hamba ini berasal dari konsep “dewaraja”, iaitu budaya dan falsafah yang mengangkat Raja sebagai “Bayangan Tuhan di muka bumi”.
Budaya ini menekankan bahawa perlulah berterima kasih, taat setia dan menyerah sepenuhnya kepada Raja tanpa sebarang persoalan (“unquestioning loyalty”). Akan tetapi semestinya budaya dan falsafah yang berasal dari Hindu Buddha pada zaman dahulu kala telah bertukar dengan kedatangan Islam.
Konsep “bayangan Tuhan” ini mendapat reaksi Mufti Wilayah Persekutuan pada satu ketika dahulu yang telah menulis bahawa hadis pemerintah atau Sultan sebagai “Bayangan Allah” Riwayat Al Baihaqi adalah hadis dhaif (Irsyad Al Hadith Siri Ke 281).
Mufti Perlis juga telah menerangkan bahawa maksud “bayangan Allah” itu adalah kewajipan pemerintah melaksanakan tugas keadilan yang telah diamanahkan Allah.
Kemelut simbolisme bahasa ini telah lama dihuraikan oleh Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 20 hb Disember 1993 bertajuk “Istilah dan Adat Bahasa Sistem Beraja”.
Malah Dr Azhar Ibrahim dari National University of Singapore telah menyahut huraian tersebut dengan panjang lebar dalam buku “Bahasa dan Tantangan Intelektualisme” – mengenai bahasa yang digunakan sebagai alat untuk menjaga dan mempertahankan kepentingan kaum atasan feudal dalam masyarakat Melayu.
Kesemua perkara ini dikatakan telah mendorong satu pemikiran atau psikologi yang dinamakan “psikologi feudal” dan perkara ini telah lama dibahaskan oleh Syed Hussein Alatas bersama-sama dengan ahli akademik didikan beliau seperti Dr Shaharuddin Maaruf dan Dr Chandra Muzaffar.
Sebagai contoh, Dr Chandra Muzaffar menulis dalam buku “Protector?” mengenai budaya “unquestioning loyalty” yang telah melompat dari institusi Raja ke institusi politik apabila pemimpin-pemimpin politik juga mahukan rakyat meletakkan sokongan dan taat setia tidak berbelah bahagi tanpa sebarang persoalan kepada mereka.
Dr Shaharudin Maaruf juga menulis mengenai bahaya pemikiran “hero” dalam masyarakat Melayu apabila seseorang itu perlu mencontohi “Hang Tuah” yang mengabdikan diri sepenuhnya dan hanya untuk kepentingan dan kesenangan orang lain.
Mungkin terdapat segelintir pendengar webinar tersebut yang merasakan tidak puas kerana simbolisme bahasa tersebut tidak dikupas oleh penceramah, tetapi mana-mana webinar memang mempunyai masalah kekangan masa. Mungkin juga orientasi kesarjanaan komunikasi massa berbeza sedikit.
Ini jelas dilihat ketika moderator bertanya bagaimana hendak “reach generasi muda” mengenai keturunan Raja Iskandar Zulkarnain di Bukit Siguntang, Wan Empok dan Wan Malini, jawapan yang diberi oleh pensyarah komunikasi massa tersebut adalah “…bawa mereka ke Palembang…wisata di Bukit Siguntang…”.
Perbezaan orientasi kesarjanaan ini amat menarik kerana jikalau di Fakulti Undang-Undang, ketika membicarakan mengenai Sang Sapurba dan sebagainya, para pelajar akan mengkaji “wa’ad” atau sumpah taat setia yang dibuat antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba dan membandingkan “Wa’ad” tersebut dengan doktrin kontrak sosial tulisan Hobbes, Locke dan Rousseau.
Para pelajar undang-undang juga akan membandingkan “Wa’ad” dalam Sulalatus Salatin tersebut dengan tanggungjawab Raja di dalam Tajus Salatin yang menekankan kewajiban seorang Raja memerintah dengan adil.
Dalam dunia akademik, perbezaan orientasi kesarjanaan ini sememangnya suatu yang lumrah dan ia mewarnai sebarang kajian ilmu.
Terima kasih kepada pihak Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di UiTM yang rajin mengadakan program seperti ini sepanjang tahun demi menyemarakkan lagi dunia kesarjanaan di Malaysia. – 21 Mac, 2022.
* Mohd Nazim Ganti Shaari, pensyarah undang-undang UiTM.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen