IMF seru negara Arab potong perbelanjaan awam


Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde mengalu-alukan pembaharuan "yang menjanjikan" oleh beberapa negara Arab namun menegaskan bahawa banyak lagi yang diperlukan untuk mengatasi masalah ekonomi dan sosial yang menakutkan. – Gambar EPA, 10 Februari, 2018.

KETUA Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde hari ini menggesa negara-negara Arab supaya memotong gaji dan subsidi awam untuk mengawal perbelanjaan , mencapai pertumbuhan mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Bercakap di Forum Fiskal Arab di Dubai, Lagarde mengalu-alukan pembaharuan “yang menjanjikan” oleh beberapa negara Arab namun menegaskan bahawa banyak lagi yang diperlukan untuk mengatasi masalah ekonomi dan sosial yang menakutkan.

Lagarde berkata harga minyak yang rendah membebankan pengeksport minyak Arab, manakala pengimport bergelut dengan kenaikan hutang, pengangguran, konflik, keganasan dan kemasukan pelarian. 

Menurut Tabung Kewangan Arab (AMF), sejak beberapa tahun kebelakangan ini hampir semua negara Arab mencatatkan defisit belanjawan dan ekonomi Arab hanya tumbuh sebanyak 1.9% pada tahun lepas, iaitu separuh dari kadar global.

Bagaimanapun, Lagarde berkata perbelanjaan awam Arab kekal tinggi terutamanya di negara-negara Teluk yang kaya minyak, di mana perbelanjaan kerajaan melebihi 55% dari keluaran dalam negara kasar.

Banyak kerajaan Arab katanya telah mengambil langkah bagi membendung perbelanjaan tetapi ia hanya bersifat sementara.

Menurut Lagarde, pembaharuan perbelanjaaan awam harus fokus kepada pemotongan subsidi mahal dan gaji, sambil meningkatkan kecekapan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pelaburan awam. – AFP, 10 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen