OMICRON kini merupakan varian Covid-19 yang utama di Malaysia, menggantikan Delta, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan melalui kajian dan survelan genomik berterusan, varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata adalah membimbangkan varian Omicron BA.2 menyaksikan peningkatan dalam transmisi antara Januari dan Mac.
“Didapati varian Omicron BA.2 telah meningkat ke 27.1% berbanding pada bulan Januari 2022 dan Februari 2022 di mana pelaporan untuk varian Omicron sub-lineage BA.2 hanyalah masing-masing 0.9% dan 2.7%.
“Kenaikan mendadak sub-lineage BA.2 ini adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian.
“Kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding dengan sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta,” katanya.
Sehingga kini, 65.7 peratus dewasa telah menerima dos penggalak manakala 35.3 peratus kanak-kanak berumur antara 5 dan 11 tahun telah disuntik vaksin.
Malaysia melaporkan 19,105 jangkitan Covid-19 semalam dengan 71 kematian.
Daripada 19,015 jangkitan yang dilaporkan semalam, Noor Hisham berkata pesakit kategori 2 seramai 10,645 jangkitan, diikuti kategori 1 dengan 8,267 kes. – 21 Mac, 2022.
Komen