RIBUT kuat membadai North Island di New Zealand hari ini, meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa apabila sebuah kapal nelayan karam dan mencetuskan kekecohan di bandar terbesar negara itu, Auckland, kata pihak berkuasa.
Polis berkata tiga mayat ditemui dan dua yang lain masih hilang ketika kapal karam itu di pantai terpencil Northland itu ditemui semalam, dengan lima yang selamat kini dirawat di hospital.
Tentera berkata dua pesawat tentera dan kapal perang tentera laut dikerah membantu usaha mencari dua mangsa terbabit.
Ribut bergerak dari selatan dan membadai Auckland awal pagi ini, membawa hujan lebat di bandar itu selama sejam, kata agensi ramalan cuaca Metservice.
Lebuh raya terputus akibat banjir, sekolah ditutup selepas bilik darjah ditenggelami air sementara perkhidmatan feri dihentikan kerana hujan lebat.
Metservice berkata kluster enam ribut petir menuju selatan dan dijangka tiba di bandar Hamilton pada petang ini.
“Ribut petir ini dijangka bersama hujan lebat dan angin kuat,” katanya, menggesa orang ramai mendapatkan perlindungan di dalam rumah. – AFP, 21 Mac, 2022.
Komen