Seorang maut, tentera Russia serang pusat beli-belah di Kyiv


Seorang wanita Ukraine menangis di depan bangunan pangsapuri yang musnah dibedil tentera Russia semalam. – Gambar EPA, 21 Mac, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA seorang terbunuh apabila tentera Russia menyerang sebuah pusat beli-belah di ibu kota Ukraine, Kyiv semalam, kata datuk bandar.

Letupan kuat berlaku di bandar itu pada masa sama serangan berlaku dan api dilihat di pusat beli-belah Retroville.

“Setakat ini seorang terbunuh,” kata Datuk Bandar Vitali Klitschko.

Serangan musuh menyebabkan kebakaran di beberapa tingkat di pusat beli-belah itu yang terletak di Polidlsky, dan beberapa kenderaan turut terbakar, kata perkhidmatan kecemasan.

Mereka menyiarkan rakaman kamera tertutup menunjukkan letupan besar dan asap tebal, diikuti dengan beberapa letupan lebih kecil.

Anggota bomba menarik keluar sekurang-kurangnya seorang lelaki yang diselaputi debu, menurut video.

Pasukan tentera bergegas ke tempat kejadian dan mengarahkan media untuk berundur, bimbang bahaya daripada peluru yang tidak meledak.

Penduduk di kawasan sekitar berkata tingkap mereka berkecai akibat letupan kuat itu dan mereka nampak roket dilancarkan ke arah pusat beli-belah itu beberapa hari sebelum ini.

Kyiv menjadi mangsa serangan sejak minggu lalu, dengan satu blok pangsapuri musnah semalam. – AFP, 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen