Kadar menginap tetap rendah kerana Omicron, kata pengusaha hotel


Khoo Gek San

Pengusaha hotel harap VTL antara Singapura, Thailand dan Kemboja serta pembukaan semula sempadan pada 1 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

PENGUSAHA hotel sukar untuk meningkatkan perniagaan mereka ketika cuti sekolah baru-baru ini kerana ibu bapa bimbang gelombang Omicron mengekang mereka daripada melakukan perjalanan, kata pakar industri.

Mereka kini meletakkan harapan terhadap lorong perjalanan yang divaksin (VTL) antara Singapura, Thailand dan Kemboja serta pembukaan semula sempadan pada 1 April.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Lim Mee Lee, berkata semasa cuti sekolah selama tiga minggu baru-baru ini, hotel di Pulau Pinang tidak menyaksikan sebarang peningkatan.

Kadar menginap hanya 30% hingga 40%.

“Cuti sekolah tidak membantu meningkatkan kadar menginap hotel di Pulau Pinang,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

“Wabak ini agak teruk dan ramai pelajar turut dijangkiti virus. Ini bermakna ibu bapa tidak berminat untuk membawa anak-anak mereka bercuti.”

Beliau berkata, kebanyakan pelancong domestik biasanya menghabiskan hujung minggu di pulau itu, menempah penginapan pada hari Jumaat dan pulang semula pada hari Ahad.

Dengan pembukaan semula sempadan pada 1 April, Lim juga berharap kerajaan akan menjelaskan prosedur operasi standard (SOP).

Jika Malaysia memerlukan mereka yang melakukan perjalanan setiap hari antara Malaysia dan negara jiran untuk menjalani ujian PCR setiap kali, ia mungkin menghalang kehadiran pelancong, katanya.

“Jika pelawat dari negara jiran perlu menjalani ujian PCR apabila mereka memasuki Malaysia, apakah yang berlaku apabila mereka keluar pada waktu petang?” tanya Lim, sambil menyatakan mereka sedang menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan.

Dengan pembukaan semula sempadan pada 1 April, pengusaha berharap kerajaan akan menjelaskan SOP secara jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

Dengan kehadiran pelancong VTL dan antarabangsa tidak lama lagi, Lim menjangkakan ia dapat menggiatkan semula aktiviti pelancongan di pulau itu.

Sebanyak 80% pelancongan Pulau Pinang bergantung kepada orang asing manakala 20% adalah pelancongan domestik.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan menghadapi peralihan ke fasa endemik pada 1 April, juga menyaksikan sempadan dibuka semula buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pelancong antarabangsa yang divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Mereka yang berusia di bawah 17 tahun tidak perlu menjalani kuarantin tanpa mengira status vaksinasi mereka tetapi perlu melakukan ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas memasuki negara ini.

Bagi pengembara berkala yang menggunakan sempadan darat, Khairy berkata, SOP mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Johor bergantung kepada pelancong Singapura

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Ivan Teo berkata, perniagaan di negeri itu memerlukan kehadiran rakyat Singapura untuk kembali pulih.

“Penduduk tempatan jarang pergi ke Johor Bahru dan hotel di sini amat bergantung kepada pelancong Singapura,” katanya.

Semasa cuti sekolah dan pilihan raya negeri Johor, penginapan di hotel tidak meningkat kerana ramai yang memilih Airbnb, katanya.

“Airbnb memberi impak besar kepada industri perhotelan terutama di Johor Bahru yang mana banyak pangsapuri disewa menggunakan perkhidmatan itu. Kami berasa tidak berdaya saing.”

Semasa cuti sekolah selama tiga minggu baru-baru ini, hotel di Pulau Pinang tidak menyaksikan sebarang peningkatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

Pengerusi MyBHA Johor, Jarod Chia berkata pada Mac, kadar menginap di Johor meningkat sebanyak 10%.

Cuti sekolah tidak meningkatkan industri kerana ibu bapa takut anak-anak mereka akan dijangkiti, kata Chia.

“Melainkan vaksinasi buat kanak-kanak diwajibkan, ibu bapa akan berhati-hati untuk membawa anak mereka keluar semasa cuti sekolah. Ini tidak akan membantu industri perhotelan dan pelancongan.

“Pada minggu pertama dan kedua cuti sekolah, tiada kesesakan di kawasan tarikan pelancong di Johor dan Melaka, semuanya lengang,” katanya.

Chia percaya varian Omicron yang meningkatkan kes semasa perayaan Tahun Baharu Cina juga menyebabkan ramai membatalkan rancangan percutian mereka.

“Sesetengah hotel menerima pembatalan tempahan dan kami memahaminya kerana jumlah jangkitan semakin meningkat setiap hari.”

Malaysia merekodkan 22,341 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, kata Kementerian Kesihatan.

Kes jangkitan dicatat dalam lima digit selama beberapa minggu disebabkan Omicron.

Hingga kini, 1.23 juta (34.9%) kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Manakala 2.84 juta (91.4%) remaja berumur 12 hingga 17 tahun diberi vaksin sepenuhnya dan 2.94 juta (94.6%) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen