NARENDRA Modi hari ini jadi perdana menteri India pertama yang melawat Tebing Barat untuk bertemu dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas sebagai sebahagian dari lawatannya ke Timur Tengah.
Lawatan itu beberapa selepas Modi menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilihat sebagai usaha India untuk mengimbangi hubungan baiknya dengan negara Yahudi itu.
Modi dan rombongan terbang dengan helikopter dari Jordan dan mendarat berdekatan ibu pejabat Abbas di Ramallah.
Dalam pertemuan singkat itu, kedua-dua pemimpin tersebut bersedia membincangkan isu-isu termasuk mengenai teknologi maklumat, kesihatan dan pelancongan, sebelum Modi kembali terbang semula ke Jordan.
New Delhi telah lama menyokong usaha Palestin membentuk sebuah negara dan Modi telah menyuarakan sokongannya bagi sebuah negara merdeka yang aman bersama Israel.
Modi menjadi perdana menteri India pertama dalam sejarah yang melawat Israel tahun lepas, dan kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian mengenai keselamatan siber dan tenaga.
Keengganan India menyokong langkah Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel mengecewakan Israel, tetapi konsisten dengan sokongannya kepada rakyat Palestin.
Modi juga akan melawat Oman dan Emiriah Arab Bersatu dalam lawatan tiga hari itu. – AFP, 10 Februari, 2018.
Komen