Korea Utara lepas tembakan dari pelbagai pelancar roket, kata Seoul


Korea Utara telah melancarkan rangkaian senjata terlarang tahun ini dan menguji apa yang didakwanya sebagai komponen "satelit peninjau" walaupun Seoul dan Washington menyifatkan ia sebagai sistem ICBM baharu. – Gambar AFP, 20 Mac, 2022.

KOREA UTARA melancarkan beberapa tembakan dari pelancar roket pada Ahad, kata Seoul, terbaharu dalam siri provokasi negara bersenjata nuklear itu bagi meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.

Pyongyang melancarkan rangkaian senjata terlarang tahun ini dan menguji apa yang didakwanya sebagai komponen “satelit peninjau” walaupun Seoul dan Washington menyifatkan ia sebagai sistem ICBM baharu.

“Terdapat tembakan yang disyaki daripada pelbagai pelancar roket Korea Utara pagi ini,” kata Ketua Turus Bersama dalam mesej teks kepada pemberita.

“Tentera kami mengekalkan kesediaan pertahanan kami sambil mengikuti perkembangan berkaitan,” tambahnya tanpa butiran lanjut.

Empat das tembakan dilepaskan ke perairan barat dalam tempoh sejam dari pukul 7.20 pagi dari lokasi yang tidak ditentukan di wilayah Pyongan Selatan, lapor agensi berita Yonhap memetik pegawai yang tidak dinamakan.

Tujuan tembakan itu sedang dinilai, tambah laporan itu.

Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar dan menggesa sikap bersiap sedia yang ketat bagi “mencegah kekosongan keselamatan semasa tempoh peralihan kerajaan”, menurut satu kenyataan dari Rumah Biru presiden.

Presiden Yoon Suk-yeol akan dirasmikan pada 10 Mei selepas memenangi pilihan raya 9 Mac.

Pyongyang telah lama memiliki keupayaan untuk memusnahkan Seoul - yang hanya sekitar 60 kilometer dari sempadan - dengan tembakan artileri.

AS menempatkan 28,500 tentera di Korea Selatan, sekutu keselamatannya, untuk melindunginya daripada jirannya yang bersenjata nuklear, kebanyakan mereka berpangkalan di selatan Seoul di Kem Humphreys di Pyeongtaek, kemudahan ketenteraan luar negara terbesarnya.

Tembakan pada Ahad berlaku hanya beberapa hari selepas Pyongyang menjalankan ujian peluru berpandu balistik yang disyaki gagal, dalam apa yang dikatakan penganalisis boleh menjadi peluru berpandu balistik antara benua baharu negara itu.

AS dan Korea Selatan berkata Korea Utara sedang bersedia untuk menembak ICBM pada jarak penuh buat kali pertama sejak 2017, mungkin menyamar sebagai pelancaran angkasa lepas.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen