Mekanisme, pelaksanaan gaji minimum diumum tidak lama lagi, kata menteri


PERINCIAN mekanisme dan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan.

Menyambut baik pengumuman pelaksanaan gaji minimum baharu mulai 1 Mei seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, Saravanan berkata ia adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lepas.

“Pengumuman ini jelas seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja. 

“Langkah ini juga dijangka memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini dan ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Feb 2020 dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020. – Bernama, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen