17 mayat pendatang asing ditemui di pantai Tunisia


Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi anggar lebih 18,000 pendatang asing meninggal dunia atau hilang ketika dalam perjalanan ke Eropah sejak 2014. – Gambar EPA, 20 Mac, 2022.

SEBANYAK 17 mayat dipercayai pendatang asing yang cuba masuk ke Eropah ditemui di luar pantai timur laut Tunisia, kata pertahanan awam semalam.

Semua mayat dihanyutkan di Cape Bon, di semenanjung selat Sicily antara Jumaat dan Sabtu, kata jurucakap pertahanan awam, Moez Triaa.

“Majoriti dari Afrika Sub-Sahara tetapi ada pendatang asing dalam kalangan rakyat Syria,” katanya tanpa memberikan perincian dari mana mereka bertolak atau keadaan sekitar penemuan mayat berkenaan.

Pada hujung Februari, sembilan pendatang dari pelbagai negara Afrika lemas selepas bot mereka terbalik di luar pantai Tunisia ketika cuba ke Eropah.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum ini berkata kira-kira 1,300 pendatang mati lemas atau hilang pada 2021 di tengah Mediterranean menjadikannya laluan paling banyak menyebabkan kematian di dunia.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan lebih 18,000 pendatang asing meninggal dunia atau hilang ketika dalam perjalanan sejak 2014.

Untuk rekod, Tunisia dan negara jirannya, Libya adalah lokasi utama bagi pendatang asing yang cuba menyeberang, menuju ke pantai Eropah. – AFP, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen