ENGLAND akan memulakan program suntikan vaksin Covid-19 keempat minggu ini, dengan jutaan individu paling terdedah akan ditawarkan untuk menerima dos itu.
Selain individu 75 tahun ke atas, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) berkata suntikan dos penggalak terbaru itu juga disediakan untuk penghuni rumah jagaan.
NHS berkata kira-kira lima juta individu dijangka ditawarkan suntikan dos terbabit dan 600,000 lagi dijemput untuk menempah slot janji temu mereka minggu depan.
Setiausaha Kesihatan dan Penjagaan Sosial Sajid Javid berkata, program vaksinasi negara menyelamatkan banyak nyawa dan menyediakan benteng pertahanan yang membolehkan rakyat negara itu belajar untuk hidup bersama Covid-19.
“Berikutan kejayaan besar pelancaran vaksinasi setakat ini, kami kini menawarkan dos penggalak kepada individu berusia 75 tahun ke atas dan kelompok paling terdedah untuk menambah perlindungan terhadap virus ini,” katanya.
Kes meningkat sekali lagi di seluruh Britain disebabkan varian Omicron dengan kira-kira satu dalam 20 orang dijangkiti pada masa ini.
Kemasukan ke hospital sekali lagi meningkat, namun bilangan mereka yang memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi kekal rendah.
Bercakap pada persidangan Musim Bunga Parti Konservatifnya, Perdana Menteri Boris Johnson pada Sabtu berkata: “Kami sedang bersiap sedia untuk dos keempat, kerana kami akan memerlukannya”.
Britain antara negara paling teruk terjejas di dunia pada pandemik ini dengan lebih 163,000 maut akibat Covid-19. – AFP, 20 Mac, 2022.
Komen