4 tentera maut pesawat AS terhempas di Norway


Sebuah pesawat tentera AS terhempas ketika sedang menjalani latihan di Norway menyebabkan empat anggota marin maut. – Gambar fail AFP, 20 Mac, 2022.

SEBUAH pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas ketika sedang menjalani latihan di Norway menyebabkan empat anggota marin maut, kata tentera negara Scandinavia itu semalam.

Semua mangsa antara yang menyertai latihan ketenteraan “Cold Response” yang membabitkan 30,000 tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan negara sekutunya.

Terdahulu, pesawat dinaiki mereka, V-22B Osprey milik Kor Marin AS, dilaporkan hilang pada petang Jumaat di selatan Bodo dekat utara Norway.

Polis Nordland tiba di tempat kejadian 1.30 petang waktu tempatan dan mengesahkan empat kru berkenaan meninggal dunia.

Kementerian Pertahanan Norway dalam kenyataan berkata berdasarkan maklumat polis, semua empat mangsa dikenal pasti sebagai rakyat AS.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Marin AS dalam satu kenyataan memaklumkan identiti semua empat anggota yang terbunuh itu tidak akan didedahkan sehingga 24 jam selepas waris dimaklumkan.

Ketua polis Nordland ketika bercakap pada sidang media berkata kawasan nahas terdedah kepada tanah runtuh dan runtuhan salji.

“Kami percaya keadaan (meteorologi) akan bertambah baik esok dan dapat menghantar petugas ke lokasi nahas.

“Perkara paling penting bagi kami sekarang ialah mencari mereka yang maut dan melakukan yang terbaik untuk menyiasat punca kemalangan itu,” katanya.

Kira-kira 200 pesawat dan 50 kapal mengambil bahagian dalam latihan itu, yang akan diteruskan sehingga 1 April depan. – AFP, 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen