Subsidi bahan api lambatkan usaha capai negara hijau 2050, kata pakar ekonomi


Raevathi Supramaniam

Bajet diperuntukkan untuk subsidi sepatutnya digunakan bagi membangunkan sistem pengangkutan awam, sejajar dengan usaha Malaysia menjadi negara hijau, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2022.

KENAIKAN harga minyak menyebabkan Putrajaya bakal meningkatkan subsidi bahan api, tetapi ini tidak begitu produktif kepada matlamat negara mencapai pengurangan kadar pelepasan bersih sifar karbon menjelang 2050, kata pakar ekonomi.

Cara terbaik adalah dengan hanya memberi subsidi mengikut golongan sasaran, dengan tumpuan kepada kumpulan berpendapatan rendah B40 dan M40.

Bajet yang diperuntukkan untuk subsidi itu sepatutnya digunakan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam, sejajar dengan usaha Malaysia menjadi negara hijau, kata mereka.

Mereka mengulas jawapan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen minggu lalu mengenai subsidi bahan api dijangka meningkat kepada RM28 bilion tahun ini, berbanding RM11 bilion tahun lepas, disebabkan perang Russia di Ukraine.

Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata walaupun Malaysia menikmati peningkatan hasil sebagai negara pengeluar minyak, adalah tidak bijak untuk menggunakan hasil ini untuk mensubsidi sumber tidak boleh diperbaharui.

“Subsidi itu boleh digunakan untuk tujuan lebih produktif seperti menaik taraf pengangkutan awam dan pendidikan,” kata Yeah kepada The Malaysian Insight.

“Harga bahan api Malaysia masih sangat murah kerana pemberian subsidi. Di negara lain harga bertukar setiap hari.

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan pertumbuhan hijau dan pengurangan pencemaran, sejajar dengan matlamat pengurangan kadar pelepasan bersih sifar karbon.”

Malaysia mengumumkan matlamat bebas karbon menjelang 2050 September lalu, selepas Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri, dan juga telah menjadikannya sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong juga mengumumkan Kuala Lumpur mungkin mula mengenakan bayaran kesesakan untuk memasuki pusat bandar, seperti London, sebaik saja Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) siap pada 2030.

Harga bahan api kekal tinggi, disokong harga minyak mentah yang kekal melebihi AS$100 setong.

Perang di Ukraine meningkatkan lagi harga kerana bimbang akan kekurangan global.

Zafrul memberitahu Parlimen pada RM28 bilion setahun, Malaysia akan membelanjakan RM2.5 bilion sebulan untuk subsidi bahan api.

Pada masa ini, pengguna hanya membayar RM2.05 untuk RON95, tetapi harga pasaran untuk Mac ialah RM3.70 seliter, bermakna kerajaan memberi subsidi sebanyak RM1.65 seliter.

Bagi diesel, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter, manakala kos sebenar melebihi RM4 seliter.

RON97 yang tidak diberi subsidi, berharga RM4 seliter minggu ini.

Prof Rajah Rasiah dari Universiti Malaysia berkata lebihan perlu digunakan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan juga bersetuju dengan pendekatan subsidi bersasar.

“Memandangkan Malaysia adalah pengeksport minyak dan gas bersih, kenaikan harga bermakna negara harus menikmati pengembangan lebihan perdagangan.

“(Tetapi menggunakan lebihan untuk meningkatkan subsidi) tidak akan melihat perubahan dalam tingkah laku pengguna untuk beralih daripada bahan api fosil kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, yang mungkin memperlahankan inisiatif Malaysia untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050.” – 20 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen