Peluru berpandu hipersonik Russia ledak gudang senjata terbesar Ukraine


Menurut penganalisis penggunaan peluru berpandu hipersonik adalah yang pertama di dunia. – Gambar EPA, 19 Mac, 2022.

RUSSIA menggunakan peluru berpandu hipersonik Kinzhal terbaharunya semalam untuk memusnahkan lokasi penyimpanan peluru berpandu dan peluru bawah tanah di barat Ukraine berhampiran sempadan Romania.

Menurut penganalisis ini adalah penggunaan pertama senjata sedemikian di dunia.

Kementerian pertahanan membuat pengumuman hari ini, dengan peningkatan berlaku pada hari ke-24 konflik apabila rakyat Ukraine memberikan tentangan hebat dan kemaraan tentera Russia terbantut, menurut pegawai Barat.

Russia sebelum ini tidak pernah menggunakan senjata berketepatan tinggi dalam pertempuran, dan menurut agensi berita RIA Novosti ia adalah penggunaan pertama senjata hipersonik Kinzhal (Dagger) semasa konflik di pro-Barat Ukraine.

“Sistem peluru berpandu Kinzhal dengan peluru berpandu aerobalistik hipersonik memusnahkan sebuah gudang bawah tanah terbesar yang mengandungi peluru dan peluru berpandu di kampung Deliatyn di wilayah Ivano-Frankivsk”, kata kementerian pertahanan Russia hari ini.

Jurucakap kementerian pertahanan enggan mengulas apabila dihubungi AFP

Presiden Russia Vladimir Putin menggelar peluru berpandu itu sebagai “senjata ideal” yang mampu mencapai kelajuan 10 kali ganda dan boleh mengatasi sistem pertahanan udara.

Peluru berpandu Kinzhal adalah salah satu daripada senjata baharu yang diperkenalkan Putin dalam ucapan negaranya pada 2018.

Deliatyn, sebuah kampung di kaki bukit pergunungan Carpathian yang indah, terletak di luar bandar Ivano-Frankivsk.

Wilayah Ivano-Frankivsk berkongsi sempadan sepanjang 50 kilometer dengan Romania.

Peluru berpandu hipersonik boleh digunakan untuk menghantar peledak konvensional, dengan lebih pantas dan tepat berbanding peluru berpandu lain. – AFP, 19 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen