CHINA melaporkan dua kematian membabitkan pesakit Covid-19, pertama dalam tempoh lebih setahun susulan ancaman penularan varian Omicron yang mencetuskan jumlah kes tertinggi negara itu sejak pandemik itu.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, kedua-dua kematian berlaku di Jilin, wilayah di timur laut yang teruk dilanda peningkatan kes di seluruh negara hingga mengakibatkan sekatan pergerakan ketat di beberapa bandar.
Kematian itu adalah yang pertama dilaporkan di China sejak Januari 2021, dan menjadikan jumlah kematian negara itu akibat Covid-19 kepada 4,638.
Secara keseluruhan, China melaporkan 4,051 kes baharu hari ini, turun daripada 4,365 hari sebelumnya, menurut suruhanjaya kesihatan, dengan lebih separuh daripada jangkitan baharu datang di Jilin.
Beijing telah melaungkan bahawa kadar kematian yang terendah rendah berbanding negara lain sebagai bukti kekuatan model tadbir urus kerajaan negara itu.
Dua kematian baharu itu disembunyikan dalam laporan harian suruhanjaya kesihatan dan media negara itu tidak menyebut mengenai kes berkenaan.
‘Sifar-Covid’ di bawah tekanan
Covid-19 muncul di pusat bandar Wuhan pada akhir 2019 tetapi China sebahagian besarnya mengekalkannya di bawah kawalan melalui kawalan sempadan yang ketat, kuarantin dalam tempoh panjang dan penutupan bersasar.
Namun penularan pantas varian Omicron menimbulkan cabaran besar terhadap keberkesanan dan usaha jangka panjang strategi “sifar-Covid” kerajaan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini beberapa sumber rasmi mencadangkan China mungkin pada satu ketika perlu wujud bersama dengan Covid-19 seperti yang dilakukan negara lain, sambil juga memberi amaran tentang kesan ekonomi daripada penutupan besar-besaran.
Presiden Xi Jinping pada Khamis berkata China akan tetap dengan strategi sifar-Covid, sambil juga membenarkan pendekatan yang lebih “bersasar”. – AFP, 19 Mac, 2022.
Komen