MYANMAR akan menyambung semula penerbangan antarabangsa bermula 17 April depan, kata junta hari ini, membatalkan sekatan dua tahun kepada pelancong asing.
Negara Asia Tenggara itu menutup sempadan kepada pelawat luar pada Mac 2020 ketika pandemik bermula dalam usaha mengekang penularan wabak.
Myanmar terus terasing selepas rampasan kuasa tahun lepas menyaksikan protes massa dan operasi ketenteraan terhadap penentang menyebabkan sektor ekonominya termasuk pelancongan jatuh merudum.
“Kami akan membuka semua penerbangan antarabangsa pada 17 April dan semua boleh terbang seperti biasa,” kata Jawatankuasa Nasional Pusat Pencegahan, Kawalan dan Rawatan Penyakit Koronavirus yang memetik penurunan kes Covid-19 sebagai sebab.
Dalam kenyataan, ia berkata keputusan itu dibuat “bagi meningkatkan perniagaan sektor pelancongan dan memudahkan perjalanan pelawat yang melawat Myanmar”.
Pelawat dihendaki menjalani kuarantin selama seminggu dan dua ujian PCR serta perlu lengkap vaksinasi, menurut Kementerian Kesihatan.
Industri pelancongan Myanmar terjejas teruk disebabkan pandemik dengan negara itu merekodkan 40,000 kes harian Covid-19 ketika puncak wabak tahun lepas.
Korban wabak negara itu dilaporkan seramai 20,000 orang.
Keganasan berterusan susulan rampasan kuasa oleh junta juga memberi kesan buruk kepada ekonomi dengan banyak syarikat antarabangsa menarik balik pelaburan.
Lebih 1,600 orang dibunuh pasukan keselamatan dan lebih 11,000 orang lagi ditahan sejak rampasan kuasa berlaku, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Junta memberi gambaran tahun lepas yang ia akan kembali membuka pintu kepada pelawat antarabangsa pada 2022, berharap dapat mengambil faedah daripada musim perayaan di negara itu. – AFP, 19 Mac, 2022.
Komen