Mahkamah Brazil haramkan Telegram


Mahkamah Brazil mengarahkan aplikasi Telegram disekat serta merta. – Gambar EPA, 19 Mac, 2022.

SEBUAH Mahkamah Agung di Brazil mengharamkan aplikasi mesej popular, Telegram, sekaligus menyekat saluran komunikasi kegemaran Presiden Jair Bolsonaro berhaluan kanan, dalam satu penghakiman dikeluarkan semalam.

Ia memetik kegagalan Telegram untuk mematuhi arahan pihak berkuasa Brazil untuk memadamkan mesej dengan maklumat salah, Hakim Alexandre de Moraes mengarahkan aplikasi itu disekat serta merta di Brazil, dalam penghakiman bertarikh Khamis dan dikeluarkan pada Jumaat di laman web mahkamah tinggi.

Keputusan itu dikeluarkan ketika Bolsonaro yang berdepan kemerosotan sokongan sedang menggerakkan usaha bertanding kempen pemilihan semula presiden pada Oktober menggunakan aplikasi itu untuk penyokongnya.

“Sikap tidak hormat Telegram kepada undang-undang Brazil dan kegagalan berulang kali untuk mematuhi keputusan mahkamah sangat tidak selari dengan kedaulatan undang-undang,” tulis Moraes.

Katanya, syarikat itu berulang kali enggan mematuhi arahan dan permintaan polis, Tribunal Agung Pengundian dan Mahkamah Agung sendiri.

Ini termasuklah arahan mahkamah dalam siasatan berkaitan tuduhan ke atas pentadbiran Bolsonaro menggunakan saluran komunikasi itu untuk menyebarkna maklumat tidak tepat, kata hakim itu lagi.

Bolsonaro secara terbuka bergaduh dengan Moraes, hakim sama yang mengarahkan beliau disiasat berkaitan tuduhan itu.

Presiden mengecam penghakiman itu sebagai “tidak boleh diterima” dan mengancam “kebebasan” rakyat Brazil.

Moraes “gagal bertindak ke atas seorang dua yang menurutnya perlu disekat, jadi dia putuskan untuk beri kesan kepada 70 juta orang lain,” kata Bolsonaro. – AFP, 19 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen