PRESIDEN Syria Bashar al-Assad mengadakan perbincangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.
Ia merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara Arab sejak perang saudara meletus pada 2011, kata media negara UAE.
Pertemuan itu adalah petanda terbaharu jalinan hubungan antara Syria dan UAE, yang sebelum ini telah memutuskan hubungan dengan Damsyik pada Februari 2012.
Assad bertemu dengan pemerintah de facto UAE, Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan, membincangkan perihal hubungan antara kedua-dua negara, lapor agensi berita WAM.
Mereka turut membincangkan usaha untuk “menyumbang kepada penyatuan keselamatan, kestabilan dan keamanan di rantau Arab dan Timur Tengah”, tambahnya.
Sheikh Mohammed berkata beliau berharap lawatan itu akan “membuka jalan kepada kebaikan, keamanan dan kestabilan untuk diguna pakai di Syria dan seluruh rantau”, kata WAM.
Dua pemimpin itu turut membincangkan cara memelihara integriti wilayah Syria dan pengunduran tentera asing dari negara itu serta cara menyediakan sokongan politik dan kemanusiaan untuk Syria.
Agensi berita Syria SANA berkata pertemuan itu membantu mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak. – AFP, 19 Mac, 2022.
Komen