Indonesia, Mesir meterai MoU kesihatan, ekonomi dan pendidikan


Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata pertukaran amalan baik dalam industri vaksin penting kerana Indonesia dan Mesir merupakan penerima teknologi vaksin mRNA WHO. – Gambar EPA, 18 Mac, 2022.

INDONESIA menandatangani  memorandum persefahaman (MoU) dengan Mesir bagi menubuhkan suruhanjaya bersama membabitkan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

Pertukaran amalan baik dalam industri vaksin adalah penting kerana kedua-dua negara merupakan penerima teknologi vaksin mRNA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

“Selari dengan keutamaan Indonesia selaku  Presiden G20, kami bersetuju menjalin kerjasama demi mengukuhkan kesihatan global,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Hassan Shoukry, pada Jumaat.

Menteri perdagangan kedua-dua negara akan menandatangani MoU mengenai penubuhan jawatankuasa perdagangan bersama bagi mempercepatkan perjanjian dagangan, kata Retno.

Mesir kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Indonesia di Timur Tengah, dengan nilai perdagangan mencecah AS$1.86 bilion pada 2021.

Menyentuh mengenai pendidikan, kedua-dua menteri turut membincangkan mengenai akses penjagaan kesihatan terutama ketika pandemik bagi pelajar Indonesia di Universiti Al Azhar dan mempromosikan Bahasa Indonesia di Mesir.

Isu global, termasuk Palestin, Afghanistan dan Ukraine, turut dibincangkan kata Retno, sambil menambah bahawa mereka bersetuju untuk terus menyokong usaha Palestin menuntut kemerdekaan.

Mengenai krisis di Ukraine, Indonesia dan Mesir juga menggalakkan proses damai melalui rundingan pelbagai hala berdasarkan parameter yang dipersetujui di peringkat antarabangsa demi mencapai penyelesaian mutlak dua negara, katanya. – Bernama, 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen