Fokus isu rasuah punca Pejuang kalah di Johor, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu kalah di PRN Johor kerana gagal menangani isu penting pengundi dan menumpukan kepada isu rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Mac, 2022.

PEJUANG terlalu memberi tumpuan kepada isu rasuah ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini dan gagal menangani isu penting bagi pengundi seperti pengangguran, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap mengenai kegagalan partinya memenangi satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lalu bekas perdana menteri ini berkata ia sudah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan kekalahan parti berkenaan.

“Kita akan mencari jalan untuk memperbaiki diri pada masa hadapan supaya kita tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Kita (Pejuang) sebelum ini banyak tumpu untuk banteras rasuah sehingga kurang menekankan mengenai masalah dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran dan tidak cukup makan.

“Perkara seperti ini tidak diberi penekanan oleh Pejuang sehingga menyebabkan pengundi tidak tertarik kepada parti ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini. 

Pejuang bertanding di 42 kerusi DUN di Johor dan kalah kesemuanya. Kempennya condong ke arah tidak mengembalikan undi kepada “kleptokrat” merujuk kepada kepimpinan Umno yang sebahagiannya sedang berdepan perbicaraan rasuah.

Pilihan raya itu dimenangi oleh BN dengan 40 daripada 56 kerusi dan gabungan itu mengekalkan kerajaan negeri.

Pejuang tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 11 kerusi manakala PKR yang menggunakan logo sendiri memenangi satu kerusi.

Sekutu PH Muda memenangi satu kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin memenangi tiga kerusi.

Seperti Pejuang tidak ada parti baharu lain termasuk serpihan PKR Parti Bangsa Malaysia memenangi sebarang kerusi. 

Ditanya sama ada Pejuang boleh bergabung tenaga dengan parti pembangkang lain untuk berdepan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dr Mahathir berkata cadangan itu akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya sedar kita kalah di Johor kerana pembangkang tidak bersatu. Kalau tidak kita boleh menang dalam pilihan raya.

“Ada kemungkinan…cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam.

“Jika kita lihat keputusannya BN memenangi 35% undi yang sangat kecil. Mereka hanyalah kerajaan minoriti. Malah mereka tidak sepatutnya dibenarkan membentuk kerajaan negeri kerana mereka dipimpin oleh pemimpin yang korup,” katanya. – 18 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen