Banjir kilat di DUN Ketari


APA penyelesaian kerajaan pusat dan negeri? Sehingga 10.40 malam, 17 Mac, 2022, di sekitar kawasan Bentong masih hujan, khususnya kawasan Ketari. Hujan mula seawal 3 petang. Kini, air sungai sudah mula naik. Beberapa kawasan mula banjir.

Di Janda Baik, kawasan Pulau Santap yang musnah sewaktu banjir pada 18 Disember lalu juga dinaiki air deras.

Ini menimbulkan keresahan penduduk di kawasan tersebut juga pengusaha chalet. Kerosakan yang dialami di kawasan Janda Baik juga masih belum dibaik pulih.

Jika berlaku musibah banjir sekali lagi, saya khuatir Janda Baik akan mengalami kerosakan yang total.

Di bandar Bentong, tempat seperti Kampung Perting, Sungai Marong, Kampung Chegar Medang dan Taman Harmoni kini sudah mula dinaiki air. Hujan sejak 3 petang semalam menyebabkan air sungai meningkat dan kini berada di paras bahaya.

Sejak bencana banjir besar pada 18 Disember, 2021, masih tiada perancangan khusus daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi menangani masalah ini.

Kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat dilihat tidak agresif untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah ini.

Rakyat masih trauma dengan kejadian banjir pada Disember lalu. Sumbangan kewangan yang disalurkan kepada mangsa banjir bukan penyelesaian kepada masalah ini.

Kerajaan negeri dan pusat perlu ada pelan tindakan dan perancangan khas agar kejadian banjir besar tidak berlaku lagi.

Namun malangnya, walaupun sudah hampir tiga bulan kejadian banjir besar melanda Bentong, tiada khabar mengenai pelan tindakan dan perancangan untuk menangani banjir dikemukakan oleh kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat.

Saya sedia maklum dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini yang menjadi sebab kepada kejadian banjir ini. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan secara berterusan untuk tidak berbuat apa-apa.

Sebagai kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun pusat, sepatutnya sudah ada paling tidak pelan jangka pendek untuk menyelesaikan masalah banjir ini.

Kesan kerosakan akibat bencana banjir pada Disember lalu juga masih belum dibaik pulih. Sungai yang dipenuhi batu dan selut masih belum didalamkan semula.

Akibatnya, keadaan sungai menjadi cetek dan apabila hujan turun dengan lebat dan tanpa henti, air sungai mula naik dan melimpahi kawasan darat serta membuka aliran baru yang merentasi kediaman penduduk.

Saya sebagai Adun Ketari mengutus surat memohon bantuan untuk baik pulih kawasan yang dilanda banjir ke peringkat kerajaan negeri dan pusat, namun saya tidak menerima respon dari mana-mana kementerian, agensi kerajaan dan juga exco kerajaan negeri.

Ini amat menyedihkan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat.

Saya menggesa kerajaan pusat dan kerajaan negeri segera mengadakan pelan tindakan dan perancangan bagi menghadapi banjir di kawasan yang mudah dinaiki banjir. Jangan dilengahkan lagi.

Rakyat akan menjadi mangsa jika berlaku sebarang kelewatan. Kita sudah tentu tidak mahu melihat tragedi banjir besar pada 18 Disember, 2021 berulang kembali dan meragut lebih banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa. – 18 Mac, 2022.

* Young Syefura Othman ialah Adun Ketari.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen